Pasukan bertindak pantau kebajikan anak yatim akibat Covid-19

Iklan
Dr Norlela - Foto fail Bernama

GEORGETOWN - Kerajaan negeri menubuhkan satu pasukan bertindak (task force) untuk memantau kebajikan dan kesihatan mental kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, pasukan bertindak itu diwujudkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, ‘task force’ amat perlu untuk membantu kanak-kanak ini. Kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan (Masyarakat) akan melakukan siasatan atas keperluan mereka serta menghubungi keluarga yang terlibat untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan bantuan bakul makanan.

"Berdasarkan rekod, tiada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dimasukkan ke institusi kebajikan kerana mereka semua dijaga ahli keluarga atau penjaga,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lancang) mengenai statistik kematian Covid-19 negeri dan nasib kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat wabak itu.

Norlela berkata, sebanyak dua keluarga di negeri ini telah kehilangan kedua-dua ibu bapa akibat Covid-19, iaitu membabitkan empat kanak-kanak, manakala 299 lagi kanak-kanak di negeri ini telah kehilangan ibu atau bapa, setakat Selasa lepas.

Iklan

Mengulas mengenai kes kematian akibat Covid-19, beliau berkata, terdapat 1,642 kes kematian direkodkan di Pulau Pinang dari 1 Januari hingga 22 November tahun ini. - Bernama