Kerjasama awam, swasta dipertingkat bangunkan industri tuna di Sabah, Labuan

Iklan
Ronald ketika mempengerusikan sesi libat urus berkenaan.

LABUAN - Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan meningkatkan kerjasama awam dan swasta dalam pembangunan industri tuna di Sabah dan Labuan, selaras usaha menjadikan lokasi itu sebagai hab tuna.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, industri perikanan itu mempunyai potensi yang besar sebagai sumber kekayaan baharu negara untuk dikembangkan di Sabah dan Labuan.

Iklan
Iklan

Menurut Ronald, ia juga selari dengan transformasi dan pembangunan sektor perikanan yang menyeluruh di bawah Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

Tambahnya, sesi libat urus bersama 60 orang yang terdiri dari nelayan, pengusaha laut dalam, pemain industri perikanan laut dalam, pengilang dan pemproses ikan beku serta Jabatan dan Agensi di bawah kementeriannya turut diadakan.

Iklan
Ronald bergambar bersama sebahagian peserta yang menghadiri sesi libat urus.

"Tujuan utama sesi libat urus ini diadakan adalah bagi mendapatkan input-input penting daripada semua pihak yang berkepentingan berkaitan tuna sebagai langkah penyediaan perancangan ke arah kemajuan industri tuna tempatan.

"Kerjasama antara kerajaan dan pihak swasta adalah amat penting bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang di negara ini serta dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

Iklan

"Justeru, dalam hal ini, peningkatan kualiti pasca tuai dan nilai tambah bagi hasilan perikanan tuna akan terus diberi penekanan,” katanya ketika menghadiri sesi libat urus di sini pada Ahad.

Tambahnya, sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC), Malaysia juga harus mengambil peluang untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di negara ini.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, kerajaan turut berhasrat menyertai satu lagi organisasi pengurusan perikanan antarabangsa yang menguruskan sumber tuna di sebelah Lautan Pasifik iaitu Western and Central Pacific Fisheries Commission (WCPFC) selain daripada IOTC yang telah Malaysia sertai sejak 1998.

"Kita yakin, dengan penyertaan dalam WCPFC, Malaysia boleh merancakkan industri tuna, meningkatkan lagi hasil pendaratan tuna dan seterusnya membangunkan industri laut dalam dan tuna dengan meningkatkan pendaratan sektor perikanan dan jaminan sekuriti makanan negara serta menggalakkan penglibatan pengusaha industri laut dalam dan tuna di sepanjang rantaian industri tuna,” katanya.

Katanya, sehingga Oktober 2021, sebanyak 20 buah vesel tuna iaitu 19 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna telah dilesenkan dan sudah beroperasi di Lautan Hindi manakala satu lagi vesel penangkapan ikan tuna dalam proses pelesenan dan dijangka dilesenkan pada hujung tahun ini.

Ronald (tengah) menyerahkan watikah pelantikan myKP kepada ahli renjer Taman-taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan sebaik selesai sesi libat urus itu.

Selain itu katanya, kerajaan turut menggalakkan sehingga 70 buah vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030.

"Ini adalah bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna oleh Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30 ribu tan metrik tercapai,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis sama, Ronald menyampaikan watikah pelantikan myKomuniti Perikanan (myKP) kepada lima ahli renjer Taman Taman Laut Wilayah Persekutuan Labuan untuk membentuk nilai kesedaran berhubung kepentingan pengurusan sumber perikanan setempat dan menggunakan peluang rangkaian ekonomi perikanan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti perikanan.