13 ‘Ikrar Rafiq’ untuk warga DUN Telok Mas

Iklan
Mohd Rafiq (tengah) bersarapan dengan orang ramai di kedai makan sekitar Telok Mas.

Pembangunan, kemajuan dan sektor pelancongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas menjadi fokus utama yang akan dilakukan oleh calon Perikatan Nasional (PN) N23 Telok Mas, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Selain memastikan PN mendapat majoriti sekali gus mentadbir kerajaan negeri, beberapa garis panduan telah ditetapkan khas untuk warga Telok Mas, demi pembangunan yang berterusan.

Iklan
Iklan

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Sarinah Mat Kasim bersama calon PN DUN Telok Mas, mengenai harapan beliau pada PRN Melaka kali ini.

Iklan
SINAR HARIAN: Apakah misi dan visi Datuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini?

DATUK MOHD RAFIQ: Sasaran PN Melaka adalah untuk memenangi sebanyak mungkin kerusi dan menang dengan majoriti tinggi. Selain itu kita juga mahu mendapatkan mandat atau sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk kita membentuk kerajaan. Jadi, segala perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan yang diatur sebelum ini dapat diteruskan dengan lebih baik. Sepatutnya sekarang ini, kita bukan fokus kepada pilihan raya tetapi tumpuan perlu diberikan kepada pemulihan negeri Melaka, tetapi apakan daya kita hormati semangat dan proses demokrasi, maka kita perlu teruskan. Bagaimana pun, jika PN menerima mandat kami akan memberi fokus kepada proses pemulihan dalam pelbagai aspek pasca Covid-19 dari segi ekonomi, sosial dan aspek kebajikan yang akan dapat kita pulihkan sepenuhnya.

Iklan

Apakah cabaran yang dilalui sepanjang berkempen dalam suasana norma baharu?

Banyak cabaran dan yang paling terkesan kerana tidak dapat berkempen dan berjumpa pengundi secara fizikal. Kita terpaksa mengehadkan pergerakan untuk berjumpa pengundi secara bersemuka, tetapi itu tidak menghalang semua calon PN berkempen mengikuti SOP yang telah ditetapkan. Bagi pengundi yang tidak terdedah dengan penggunaan media sosial, saya pastikan edaran risalah sampai ke rumah-rumah, selain bertemu secara tidak langsung di tempat terbuka. Alhamdulillah, penerimaan pengundi di DUN Telok Mas sangat positif kerana PN mempunyai rekod yang baik semasa dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apa kelebihan yang Datuk ada yang boleh dijadikan sebagai tarikan berbanding dengan calon lain?

Saya berdepan dengan empat penjuru, iaitu Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan calon bebas. Antara semua calon, saya satu-satunya calon anak tempatan, dibesarkan di Taman Jaya, Padang Temu. Ayah saya seorang pembekal gas memasak di Padang Temu, jadi saya bukanlah orang asing di sini. Ini adalah kelebihan saya sebagai calon. Tiba masanya untuk saya kembali berkhidmat dan menabur jasa di kampung halaman, tanpa melupakan khidmat lama di DUN Paya Rumput. Saya mahu mengekalkan kerusi Bersatu di DUN Telok Mas. Walaupun saya bertanding di DUN Telok Mas, saya tidak akan melupakan pengundi di DUN Paya Rumput.

Mohd Rafiq (kiri) sempat berbual dengan jemaah masjid selepas menunaikan solat berjemaah.

Adakah Datuk melihat tindakan mengumumkan calon Ketua Menteri PN pada saat akhir memberi kesan kepada PN?

Ini adalah strategi PN. Perkara ini tidak perlu menjadi isu kerana semua sudah sedia maklum bahawa calon Ketua Menteri Melaka adalah dalam kalangan calon Bersatu. Apabila tidak diumumkan awal, ia tidak akan memberi tekanan kepada calon. Saya bersetuju dengan langkah yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melihat ia satu pendekatan yang bijak. Mengumumkan calon saat akhir tidak akan mendedahkan calon kepada serangan peribadi atau fitnah yang akan dilemparkan oleh pihak lawan. Calon memang sudah ada, kita tunggu sahaja pengumuman daripada Presiden.

Apakah tawaran PN untuk warga DUN Telok Mas sekiranya dipilih nanti?

Saya mengariskan 13 fokus yang dikenali sebagai Ikrar Rafiq untuk warga Telok Mas. Antara tawaran yang disediakan adalah:

1. Hari Bertemu Rakyat secara konsisten iaitu dua minggu sekali.

2. Meneruskan inisiatif gerai prihatin rakyat yang jauh lebih murah.

3. Tumpu sektor pelancongan, naik taraf infra, mempromosikan Pulau Besar dan Medan Ikan Bakar.

4. Memperkasakan ekonomi rakyat terutama belia dan wanita.

5. Nasib nelayan dan penjaja akan dibela, termasuk selesaikan isu jeti.

6. Meningkatkan kualiti akses jalur lebar dan infra wifi.

7. Menaik taraf fasiliti sukan.

8. Mengadakan kelas mengaji percuma.

9. Mengutamakan bidang pendidikan terutama kelas tambahan percuma untuk keluarga B40.

10. Menganjurkan kursus perkahwinan percuma.

11. Menyediakan perkhidmatan van jenazah dan ambulans percuma.

12. Membanteras dadah dan isu judi online.

13. Memastikan kawasan persekitaran DUN Telok terjaga.

PROFIL

Mohd Rafiq Naizamohideen

Nama: Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

Umur: 35 tahun

Tempat lahir: Melaka

Pendidikan:

- Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

- Kolej Matrikulasi Mara Kuala Nerang, Kedah dalam bidang Perakaunan

Penglibatan dalam kerajaan:

- Exco Perindustrian, Perdagangan, dan Pelaburan Melaka

- Exco Badan Bukan Kerajaan, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka

- Bekas Ahli Panel Pemikir Institut Pembangunan dan Penyelidikan Belia, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi https://pru.sinarharian.com.my/