Anwar cadang kemukakan dasar jamin keselesaan semua kaum

Iklan
Anwar Ibrahim

MELAKA - Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang untuk mengemukakan satu dasar baharu bagi menjamin keselesaan semua kaum termasuk orang asli terutama di negeri Melaka.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, jurang peminggiran dan kekayaan di antara golongan atasan dan bawahan semakin besar menyebabkan golongan bawahan semakin berada dalam kesusahan.

Iklan
Iklan

"Rakyat tuduh sesama rakyat tetapi hakikatnya, yang merompak harta di atasan, Melayu, Cina dan India sama sahaja. Mereka hanya jaga kepentingan dan kekayaan mereka.

"Rakyat di bawah masih lagi sama seperti kampung Melayu di Melaka. Saya tengok di bawah ini di peringkat warung kecil tidak kira kaum, masih tersisih dan terbiar.

Iklan

"Jadi, kita kemukakan dasar untuk membawa kepada satu sikap baharu di Malaysia. Kita jamin keselesaan semua rakyat, kaum termasuk beberapa kampung orang asli yang sempat saya lawati di Melaka ini,” katanya semasa bersiaran langsung di Facebook pada Selasa.

Selain itu, menurut beliau, perwakilan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka perlulah sama rata daripada semua kaum.

Iklan

Jelasnya, ini bagi memastikan semua permasalahan kaum yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik dan juga seimbang.

"Kita mesti pastikan perwakilan yang cukup daripada semua kaum. Jangan nak canang seolah-olah dalam kempen ada cakap bahawa PH menang, terutama DAP, komunis akan berkembang dan meningkat.

"Jangan perbodohkan rakyat, kalau mereka tahu apa yang berlaku, dia akan menolak orang-orang begini. Gunalah apa sahaja tetapi kalau bercakap bohong, mengelirukan, kita wajib menolak kenyataan seperti ini,” ujarnya.

Anwar mengharapkan agar rakyat Melaka dapat membuat pemilihan dengan tepat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

"Pilihlah dengan baik dan kita cuba sedaya upaya untuk bawa perubahan yang baik kepada negeri Melaka supaya lebih bermakna lagi,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my