Semakan Dasar Penapisan Filem dimulakan

Iklan
Yusniza menegaskan penggiat filem perlu mematuhi empat kriteria atau aspek dalam Garis Panduan Penapisan Filem bagi mendapatkan kelulusan LPF.

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi agensinya, Lembaga Penapis Filem (LPF) telah memulakan semakan semula ke atas Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010.

Setiausaha Bahagian Penapisan Filem, Yusniza Yusuf berkata, KDN telah merangka perancangan melalui Pelan Strategik KDN 2021-2025 untuk mengkaji semula dan menggubal dasar dan perundangan termasuklah Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620).

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif untuk mengkaji kebolehlaksanaan dasar baharu penapisan filem telah dirancang bagi mengenalpasti pendekatan terbaik yang boleh dilaksanakan kelak yang akan disusuli dengan proses pindaan Akta 620.

"Langkah itu selaras dengan perubahan teknologi digital dan maklumat yang pesat di negara ini.

Iklan

"Apa yang kita lihat sewaktu akta itu dikuatkuasakan, negara berada di peringkat awal ledakan internet," katanya dalam temu bual khas pada Isnin.

YUSNIZA YUSUF

Menurutnya, bahan penyiaran termasuk filem yang disiarkan di internet tidak tertakluk kepada akta tersebut.

Iklan

"Filem ini sangat berkait rapat dengan teknologi. Pada tahun 80-an ia bermula dengan pita rakaman kemudian cakera video digital (DVD) dan ‘blu ray’.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku akibat kepesatan teknologi.

"Mungkin suatu hari nanti filem tidak lagi ditayangkan di pawagam, apabila semuanya di dalam talian, akta ini tidak lagi terpakai. Jadi kita sedang mengkaji pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku dan apa pendekatan yang boleh diambil," katanya.

Patuhi empat kriteria

Ujarnya, LPF memahami situasi industri filem tempatan yang berhadapan cabaran persaingan dengan pembekal perkhidmatan penstriman seperti Netflix dan Viu yang tiada sebarang tapisan.

"LPF tidaklah bertindak terlalu ekstrem sehingga menjejaskan filem. Kalau boleh kita mahu luluskan semua tayangan kerana faham ia adalah sebuah karya kreatif," katanya sambil memberitahu, LPF akan menilai keseluruhan jalan cerita sesebuah kandungan filem sebelum memberi kelulusan.

Menurutnya, berdasarkan piagam pelanggan LPF, filem panggung akan mengambil masa lima hari bekerja untuk disemak tetapi kebiasaannya ia boleh diselesaikan kurang dari tempoh tersebut sekiranya tiada sebarang isu atau masalah teknikal pada filem yang dikemukakan.

Terdapat empat kriteria atau aspek dalam Garis Panduan Penapisan Filem yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan kelulusan LPF iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, agama, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

Sementara itu, bagi kandungan yang tidak mematuhi garis panduan, LPF boleh mengarahkan beberapa tindakan pengubahan seperti memotong adegan, mengaburkan paparan, senyapkan dialog dan memadamkan sari kata.

Jika pembekal kandungan filem tidak berpuas hati terhadap keputusan LPF, pihak syarikat boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan Filem (JKRF) dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan LPF.

Mengulas mengenai kritikan LPF dianggotai oleh mereka yang tidak memiliki kepakaran dan kemahiran dalam bidang itu, Yusniza menolak kenyataan tersebut.

Katanya, kementerian tidak bersikap ambil dan pilih sahaja tetapi mereka mestilah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan contohnya bagi calon yang terdiri daripada pesara kerajaan, seseorang itu telah bersara pada gred 48 dan ke atas serta belum mencapai umur 62 tahun.

YUSNIZA YUSUF

Bagi calon dari sektor swasta pula, permohonan adalah terbuka kepada individu berusia 31 hingga 60 tahun yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti keselamatan, pertahanan, keagamaan, penyiaran dan sebagainya.

"Apabila seseorang itu telah dilantik sebagai anggota LPF, mereka perlu menjalani kursus-kursus kaedah penapisan filem. Kita akan beri mereka latihan, jadi tidak timbul isu tiada atau kurang kelayakan.

"Dari segi perjawatan, kontrak ditetapkan selama setahun dan boleh diperbaharui setiap tahun sehingga lima tahun,” jelasnya.

Setakat ini LPF mempunyai 44 anggota antaranya terdiri daripada 13 orang yang memiliki pengalaman dalam bidang keselamatan dan ketenteraman awam dan enam individu dalam bidang komunikasi dan penyiaran.

Filem kontroversi

Nasib filem kontroversi, The Battle at Lake Chang Jin sama ada diluluskan atau tidak untuk ditayangkan di dalam negara ini akan diketahui dalam masa terdekat.

Yusniza berkata, LPF telah menerima permohonan untuk tapisan pada 10 November lalu.

"Filem ini masih dalam proses tapisan dan keputusan akan dibuat dalam sehari dua lagi,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, sebuah syarikat pengendali pawagam memuat naik poster The Battle at Lake Chang Jin yang dikatakan akan ditayangkan di pawagam tersebut.

Ia sekali gus mencetuskan kemarahan warga maya sehingga meminta kerajaan mengambil tindakan selepas filem tersebut didakwa sebagai propaganda komunis.