PM lancar Agenda Nasional Malaysia Sihat esok

Iklan
Ismail Sabri Yaakob

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) pada Jumaat dalam usaha menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera dengan meningkatkan taraf kesihatan dan kualiti kehidupan.

Majlis pelancaran turut disertai Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu akan disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 pada jam 9.15 pagi.

Iklan
Iklan

Inisiatif di bawah Kementerian Kesihatan itu telah diluluskan Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 dan merupakan tawaran baharu bertujuan menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan.

Ia juga merupakan hala tuju Malaysia bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara untuk keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 dengan mendidik dan memperkasa rakyat untuk hidup bersama virus itu.

Iklan

ANMS dirangka berikutan jangkaan penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit akan terus menjadi ancaman kesihatan awam dalam kehidupan rakyat akibat cara hidup dan persekitaran yang tidak sihat.

Mempunyai empat teras iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran, ANMS akan dilaksanakan secara berfasa selama 10 tahun dan penentuan bagi fasa adalah bergantung kepada isu kesihatan semasa.

Iklan

Ia menggunakan pendekatan 'Whole of Nation' iaitu penglibatan secara menyeluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta serta rakyat bagi memastikan pelaksanaannya adalah secara menyeluruh serta memastikan kejayaan bagi menjadikan kesejahteraan kesihatan rakyat sebagai satu keutamaan. - Bernama