BDB tawar hadiah wang tunai RM10,000

Iklan
Gambar ilustrasi artis Langkawi Designer Premium Outlet.

ALOR SETAR – Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 kepada rakyat negeri Kedah menerusi Pertandingan Mencipta Logo dan Nama Khas ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ yang diadakan bermula 7 November hingga 21 November 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pertandingan itu merupakan salah satu inisiatif syarikat untuk memberi peluang kepada seluruh rakyat Kedah terlibat secara langsung dengan projek yang buat julung kalinya dibangunkan di pulau peranginan tersebut.

Iklan
Iklan

"Saya berharap semua rakyat negeri Kedah yang mempunyai bakat terpendam dan kreatif dalam mencipta logo tidak melepaskan peluang keemasan ini dan bersama-sama dengan Kumpulan BDB untuk membangunkan Langkawi supaya terus harum di persada dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Faris Najhan berkata, projek berkenaan akan memberi satu dimensi baharu kepada produk pelancongan di Langkawi dan sudah pasti akan lebih menarik sekiranya terdapat sentuhan anak tempatan di dalam penciptaan logo dan juga nama khas kepada ‘Langkawi Designer Premium Outlet’ tersebut.

Iklan

"Peserta dalam pertandingan ini mestilah terdiri daripada anak jati yang lahir di negeri Kedah berumur 18 tahun ke atas. Mereka perlu mencipta logo dan nama dalam Bahasa Inggeris dan tidak mengandungi unsur atau elemen yang boleh dianggap sensitif dan boleh menyinggung mana-mana pihak.

Poster Pertandingan Mencipta Logo dan Nama Khas 'Langkawi Designer Premium Outlet'.

"Para peserta perlu memastikan logo yang dicipta hendaklah tulen dan asli serta tidak diciplak daripada mana-mana logo tempatan mahupun luar negara,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, setiap penyertaan hendaklah mematuhi garis panduan pertandingan yang telah ditetapkan dan boleh dirujuk di laman web www.bdb.com.my/pertandingan-reka-cipta-nama-logo.

Faris Najhan berkata, Langkawi Designer Premium Outlet akan dibangunkan oleh BDBMBI Langkawi Ventures Sdn Bhd (BDBMBI), syarikat usahasama antara Bina Darulaman Berhad (BDB) dan Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI).

Untuk rekod, projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan seluas 40.975 ekar di Padang Matsirat yang bersebelahan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di mana ia meliputi ‘Outlet Premium, outlet perniagaan, outlet makanan dan minuman (F&B) serta kemudahan rekreasi kepada para pelancong dan juga masyarakat setempat.

Keseluruhan pembangunan memfokuskan kepada konsep membeli-belah yang dihiasi dengan kawasan hijau serta struktur bangunan yang melambangkan kebudayaan ikonik Melayu.

Pembangunan Fasa 1 dikenali sebagai ‘Malaysia Designer Outlet’ yang mana outlet-outlet fesyen tempatan, restoran-restoran masakan fusion berkonsepkan eksklusif atau 'fine-dining’ serta ‘coffee house’.

Di samping itu, Fasa 2 yang juga merupakan ‘jantung’ projek tersebut akan menyaksikan pembangunan ‘Outlet Premium’ di atas kawasan seluas 11.73 hektar dan akan menyaksikan penawaran kepada lebih banyak jenama antarabangsa yang premium pada harga yang kompetitif.