Perkeso beri pencarum peluang kedua

Iklan
Mahathir berjaya kekal dengan skop pekerjaannya sebagai jurutera mekanikal.

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Begitulah gambaran nasib yang menimpa seorang jurutera mekanikal, Mahathir Esa selepas disahkan menghidap gangguan tekanan akibat kemalangan.

Gangguan tekanan tersebut berlaku pada awal tahun 2020 selepas Mahathir, 46, terlibat dalam dua kemalangan kerja pada November 2015 dan Disember 2018.

Iklan
Iklan

"Saya mengalami kecederaan lutut kanan akibat kemalangan pertama dan cuba pelbagai cara untuk cepat sembuh agar dapat kembali bekerja, namun nasib tidak menyebelahi saya apabila diuji dengan kemalangan kali kedua dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

"Kemalangan itu menyebabkan saya mengalami slipped disc dan terpaksa mengambil cuti sakit hampir setahun setengah.

Iklan

"Sejujurnya, saya benar-benar hilang arah selepas insiden malang itu. Saya tidak mampu tidur, hilang selera makan dan tidak yakin dengan diri sendiri, apatah lagi hendak bekerja semula,” katanya.Selain mengalami masalah itu, Mahathir juga berdepan dengan masalah tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap isu kesihatan mental.

Dalam hal pekerjaan, bukan mudah untuk meyakinkan majikan untuk menerima pekerja yang mengalami masalah gangguan tekanan.

Iklan

"Apabila bercakap tentang masalah mental dan emosi, ramai yang ingat kita kurang waras. Mereka yang mengalami masalah ini memerlukan orang sekeliling faham dan memberikan sokongan terutamanya daripada orang tersayang untuk mereka bangkit semula,” katanya.

Namun, ketika menjalani proses pemulihan, Mahathir telah dimaklumkan mengenai program kemudahan pemulihan fizikal dan vokasional yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi program Return to Work (RTW).

Mahathir bersyukur pengurus kesnya, Muhammad Abu Bakar bertindak pantas dan membuat perancangan rapi agar dia dapat kembali bekerja dengan segera dan selamat.

Perbincangan lanjut bersama doktor ortopedik dan psikiatri yang merawatnya turut diatur bagi memastikan rawatan pemulihan yang diterima adalah komprehensif dan berkesan.

Sementara itu, Muhammad berkata, Perkeso mengadakan perbincangan bersama pihak majikan dan berjaya meyakinkan mereka untuk menerima dan memberi peluang semula kepada Mahathir mengikut tempoh percubaan bekerja pada Mac 2020.

"Inisiatif ini turut disokong dengan langkah pengubahsuaian skop pekerjaan dan memberi tempoh transisi secukupnya kepada beliau.

"Alhamdulillah, sehingga kini beliau berjaya kekal dengan skop pekerjaannya dan dapat kembali bekerja sebagai seorang jurutera mekanikal,” kata Muhammad.

Keprihatinan Perkeso dalam membantu Mahathir turut dizahirkan dengan menyediakan khidmat kaunseling kepada selain menjadi orang tengah antara dia dan majikan.

Untuk membantu meringankan bebanan dan menampung perbelanjaan sehariannya, Perkeso turut menyalurkan bantuan faedah sebanyak RM49,990.68 berdasarkan kelayakannya di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Sehingga Oktober 2021, Perkeso berjaya menempatkan seramai 40,885 Orang Berinsurans (OB) Perkeso kembali bekerja melalui program RTW.

Untuk maklumat lanjut, muat turun aplikasi Prihatin Perkeso melalui App Store/Google Play, hubungi 1-300-22-8000 atau layari laman sesawang Perkeso.