Hotel bajet tawar khidmat pelacur diserbu lagi

Iklan
Antara wanita warga asing yang ditahan.

SEBERANG JAYA- Walaupun pernah diserbu sebelum ini namun sebuah hotel bajet di Taman Emas di Perai masih lagi degil dengan menyediakan khidmat pelacur kepada lelaki hidung belang.

Dalam serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang petang semalam, seramai 10 wanita warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti persundalan di dalam premis berkenaan.

Iklan
Iklan

Timbalan Penolong Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang, Izham Idris berkata, selain wanita warga asing turut ditahan enam lelaki warga tempatan yang sedang melanggan pelacur di hotel terbabit.

"Kita terima maklumat bahawa aktiviti pelacuran masih lagi dilakukan oleh sindiket yang menggunakan hotel bajet berkenaan sebagai tempat untuk mereka mencari pelanggan.

Iklan

"Dalam pemeriksaan yang dilakukan itu, kita menemui pelbagai barangan untuk aktiviti seks seperti minyak pelincir dan kondom di dalam bilik-bilik hotel berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini.

Izham berkata, 10 wanita warga asing yang ditahan itu terdiri daripada tujuh warga Thailand dan tiga warga Laos.

Iklan

Menurutnya, mereka mengenakan harga sebanyak RM150 hingga RM200 bagi setiap langganan.

Ditanya mengenai modus operandi yang digunakan sindiket terbabit, Izham berkata, mereka menggunakan aplikasi sosial seperti WeChat untuk mempromosikan perkhidmatan yang disediakan.

Katanya, melalui aplikasi berkenaan mereka boleh memilih wanita yang disukai sebelum mengatur temu janji mengikut masa yang ditetapkan.

"Pada 13 Februari lalu kita menyerbu hotel yang sama dan menahan 10 orang wanita warga asing yang berkhidmat sebagai pelacur dan mereka dilihat masih tidak serik melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang ini.

"Risikan dan pemantauan secara berterusan akan dilakukan bagi membanteras aktiviti persundalan ini terutamanya membabitkan wanita warga asing," katanya.

Beliau berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan di Pasar Besar Bukit Mertajam, seramai lapan orang pekerja asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen dan pas yang sah.

Katanya, serbuan yang dilakukan jam 9 pagi itu hasil daripada aduan awam mengenai lambakan warga asing yang bekerja di pasar awam berkenaan.

"Kesemua mereka yang berusia di antara 20 hingga 45 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk proses dokumentasi sebelum dihantar ke depoh tahanan warga asing di Juru," katanya.