Rakyat Malaysia ditahan di Australia bukan keldai dadah

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini.

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan rakyat Malaysia yang ditahan selepas disyaki menyeludup dadah ke Australia sebagai keldai dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, suspek berusia 38 tahun itu sudah memasuki Australia sejak Januari tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Saya menolak lelaki yang ditahan itu adalah keldai dadah. Ini kerana suspek telah memasuki Australia sejak Januari 2020.

"Jika keldai dadah, modus operandinya akan bawa dadah khususnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu menggunakan kapal terbang, turun di lapangan terbang sebelum ditahan.

Iklan

"Namun sebaliknya berlaku lelaki itu sudah berada sejak setahun di Australia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Iklan

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, siasatan kes penyeludupan dadah membabitkan rakyat Malaysia di Australia itu masih dalam siasatan.

Katanya, maklumat diberi Polis Persekutuan Australia (AFP) membantu siasatan lebih menyeluruh dibuat PDRM.

"Siasatan mungkin ambil masa antara seminggu hingga sebulan kerana kita perlu melakukan risikan bernilai dan berkualiti.

"Ini sindiket yang besar dan memerlukan siasatan yang rapi dan berkualiti," katanya.

Pada Sabtu, polis Australia mengumumkan telah merampas penghantaran heroin terbesar di negara itu, iaitu sebanyak 450 kilogram.

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSNJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan Australian Federal Police (AFP) bagi menyiasat penahanan suspek warganegara Malaysia yang cuba menyeludup dadah jenis heroin bernilai RM431.8 juta ke Australia.

Dadah itu ditemui dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.

Pada Selasa, Razarudin dilaporkan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSJN) Bukit Aman sudah berhubung dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) berhubung penahanan rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah di negara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM siasat cubaan seludup heroin RM431 juta ke Australia