Bank Rakyat sokong pelaksanaan URUS

Iklan
Syed Abdul Aziz

BANK Rakyat menyokong penuh inisiatif kerajaan untuk menyediakan program sokongan komprehensif khusus untuk pelanggan B50 yang terjejas menerusi pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif sektor perbankan menerusi kerjasama Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan gensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini akan ditawarkan kepada pelanggan Bank Rakyat apabila permohonan dibuka bermula 15 November 2021.

Iklan
Iklan

"Seiring dengan semangat Keluarga Malaysia, kemudahan ini diharapkan dapat memberi ruang kepada pelanggan individu daripada segmen B50 yang paling terkesan akibat Covid-19.

"Bank Rakyat sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggannya dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi bank untuk membincangkan mengenai program bantuan yang bersesuaian dengan kedudukan kewangan mereka bagi memenuhi keperluan kewangan mereka ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Program URUS ditawarkan kepada pelanggan B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM5,880 dan telah pun menyertai program bantuan bayaran ansuran pembiayaan seperti Bantuan Bayaran Bersasar, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus), Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), penjadualan dan penstrukturan semula oleh bank setakat 30 September 2021.

Selain itu, pelanggan B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus serta mempunyai pembiayaan yang tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan juga layak untuk menyertai program ini.

Iklan

Menerusi program ini, pelanggan yang layak boleh mendapatkan pelan kewangan peribadi yang dibangunkan secara holistik oleh AKPK dengan mengambil kira keadaan kewangan pelanggan dan kemampuan untuk membayar semua obligasi pembiayaan mereka.

Pelan kewangan berkenaan juga akan merangkumi opsyen pengecualian kadar keuntungan pembiayaan untuk tempoh tiga bulan atau pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan berserta pengecualian kadar keuntungan pembiayaan selama tiga bulan.

Sepanjang tempoh itu, pelanggan dengan pembiayaan peribadi tanpa penjamin dan kad kredit juga boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar keuntungan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.