Masih terlalu awal muktamadkan calon: Ahmad Zahid

Iklan
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan masih terlalu awal untuk memuktamadkan senarai calon partinya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ujarnya, buat masa ini, beliau ingin menunggu keputusan yang akan diambil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas menerima pemakluman rasmi mengenai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu.

Iklan
Iklan

"Pada hemat saya terlalu awal untuk kita muktamadkan calon yang akan diketengahkan jika ada PRN.

"Namun, kita tidak boleh menyekat usaha untuk terus mengenal pasti bakal calon yang akan diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) dan UMNO," katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pegangan beliau mengenai calon adalah beliau mahukan muka baharu.

"Kita mahukan mahukan muka baharu, yang memberi harapan baharu dan juga menggamit kepercayaan pengundi harus diketengahkan untuk memperlihatkan kelainan pendekatan yang dibuat dalam PRN Melaka pada kali ini," katanya.

Iklan

Pada Selasa, Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan.

Beliau memaklumkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dalam sesi sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh.

Politik Melaka kembali bergolak selepas empat orang ADUN kerajaan iaitu bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengesahkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman Md Ali.