Presiden Korea Selatan lawat Malaysia

Iklan
Moon Jae-in - Foto Getty Images

SEOUL - Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in akan melakukan siri lawatan ke tiga negara Asia iaitu Brunei, Malaysia dan Kemboja mulai minggu depan, demikian menurut kenyataan pejabat Presiden, Cheong Wa Dae pada Isnin.

Beliau dijadual berlepas ke Brunei pada Ahad untuk lawatan tiga hari, lapor agensi berita Yonhap.

Iklan
Iklan

Lawatan itu sebagai usaha untuk memperbaiki hubungan dengan negara ASEAN.

"Sempena lawatan ke Brunei, Presiden Moon akan membincangkan mengenai penganjuran sidang kemuncak khas Korea Selatan-ASEAN," jelas kenyataan itu.

Iklan

Sebelum ini, Seoul mencadangkan untuk mengadakan sidang kemuncak khas itu yang dijangka dianjurkan tahun ini.

Pemimpin Korea Selatan itu juga berhasrat melawat 10 negara ASEAN sebelum penggal pemerintahannya berakhir pada 2022.

Iklan

Moon kemudian akan ke Malaysia untuk lawatan negara dan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau juga dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di Kemboja pula, Moon akan mengadakan sidang kemuncak dengan Perdana Menteri, Hun Sen dan lawatannya akan tamat pada 16 Mac. - Bernama