YPM sasar 49 pusat tuisyen di bawah Program Tuisyen Pintar @KPLB

Iklan

SHAH ALAM - Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menyasarkan sebanyak 49 pusat tuisyen yang akan terlibat di bawah Program Tuisyen Pintar @KPLB dengan jumlah peserta seramai 4,900 orang pada tahun ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nizar Sudin berkata, seramai 100 pelajar ditempatkan di setiap pusat tuisyen secara dalam talian berbanding perjumpaan fizikal sepertimana tahun-tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program tersebut bermula pada awal September dan berakhir pada Disember 2021.

"Setiap pusat tuisyen akan mengadakan 10 kali perjumpaan sebanyak seminggu sekali, bergantung kepada jadual yang ditetapkan oleh pusat tuisyen masing- masing.

Iklan

"Program Tuisyen Pintar @KPLB yang bermula sejak tahun 2013 ini merupakan program pemantapan peranan YPM sendiri untuk terus mendekati masyarakat terutamanya pelajar luar bandar yang kurang berkemampuan.

"Ia juga untuk memperkasakan pendidikan Melayu dan Bumiputera dengan memberi akses pendidikan kelas bimbingan kepada pelajar di sekitar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Iklan

"Peserta dapat menimba ilmu dan bimbingan khusus daripada guru cemerlang MRSM serta berkongsi tip dan teknik belajar melalui konsep mentor mentee antara pelajar cemerlang MRSM dan peserta kelas tuisyen,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan 'Mock Cheque' & Pelantikan Penyelaras Pusat Tuisyen Pintar @KPLB 2021 secara dalam talian dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah Mara.

Majlis juga menyaksikan penyerahan 'mock cheque' bernilai RM1,715,000 yang diberikan oleh Pengerusi Eksekutif YPM kepada Pengarah Pendidikan Menengah Mara, Wan Ainizah Ariffin dan simbolik pelantikan kepada 49 buah MRSM terlibat.