IWK tingkat teknologi hijau melalui projek tenaga solar

Iklan
Loji Rawatan Kumbahan Serantau Pantai 2 (RSTP2) yang direka dengan kapasiti untuk merawat 1.423 juta populasi setara atau 320 juta liter efluen terawat sehari.

SYARIKAT pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd akan melaksanakan projek pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic (PV) di 53 aset pembetungannya dengan jumlah penjimatan yang diunjurkan sebanyak RM20 juta bagi tempoh 15 tahun dalam meningkatkan penggunaan teknologi hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, kerja-kerja pemasangan sistem tenaga solar tersebut akan dilakukan secara berperingkat dan projek fasa pertama bermula pada bulan hadapan melibatkan 19 tapak Loji Rawatan Kumbahan (LRK) di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek fasa pertama di 19 tapak LRK dengan pemasangan solar PV berkapasiti 6,950kWp dijangka mampu menghasilkan tenaga sebanyak 8,890kWh setahun.

"Tenaga solar PV akan disalurkan untuk kegunaan proses rawatan IWK meliputi 20 peratus daripada keperluan tenaga keseluruhan untuk 19 LRK berkaitan dengan kadar penjimatan sebanyak RM14 juta bagi tempoh 15 tahun.

Iklan

"Penggunaan tenaga elektrik adalah salah satu perbelanjaan terbesar dalam komponen operasi kami dan strategi yang telah dikenalpasti dalam usaha penjimatan adalah dengan meneroka penggunaan sumber tenaga solar pada skala besar.

"IWK kini bertukar daripada operasi secara konvensional kepada trend kontemporari iaitu melalui adaptasi teknologi hijau dalam usaha mengurangkan kos,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, selepas pemasangan solar PV bagi fasa pertama ini, IWK akan terus meneroka untuk menjalin usahasama dengan pihak yang berpotensi untuk penjanaan tenaga solar PV bagi kira-kira 500 potensi aset yang bersesuaian di bawah fasa berikutnya.

"Inisiatif teknologi hijau ini akan mengurangkan jejak karbon di samping mewujudkan persekitaran lestari bagi industri rawatan air kumbahan. Inisiatif ini juga akan mengurangkan kesan kenaikan kos tenaga setiap tahun.

"Kenaikan bilangan LRK yang diserahkan kepada IWK telah menyaksikan peningkatan kos tenaga elektrik iaitu daripada RM22.53 juta pada tahun 2000 kepada RM256.30 juta pada tahun lepas,” katanya.

Narendran berkata, bagi fasa pertama ini, IWK telah menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga bersama MFP Solar Sdn Bhd (syarikat sekutu di bawah Pekat Group Berhad) dan Timeless Green Sdn Bhd bagi pembelian tenaga solar PV.

"Projek-projek tenaga solar PV adalah sebahagian daripada komitmen IWK dalam menyumbang kepada usaha pelaksanaan Pelan Tenaga Diperbaharui Malaysia khususnya apabila dunia berhadapan dengan krisis perubahan iklim dan inisiatif tenaga diperbaharui menjadi keutamaan apabila peralihan kepada sifar jejak karbon,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan 53 tapak projek solar PV ini dijangka menyumbang kepada pengurangan GHG sebanyak 125,000 tan CO2 setara.

"IWK komited kepada Matlamat Pembangunan Mampan PBB (United Nations Sustainable Development Goals - UN SDG) menerusi amalan teknologi hijau. Loji Rawatan Air Kumbahan Serantau Pantai 2 iaitu loji bawah tanah terbesar di Asia Pasifik merupakan testimoni komitmen dan model rujukan terbaik aplikasi teknologi hijau terkini.

"Adaptasi teknologi hijau secara maksima dapat disaksikan melalui penggunaan panel-panel tenaga solar, tenaga daripada biogas, penuaian air hujan dan air efluen terawat sebagai sebahagian kerja-kerja proses rawatan menyumbang kepada penjimatan tahunan sebanyak RM6.5 juta,” katanya.