Bersatu sambut baik konsep 'Keluarga Malaysia'

Iklan
Muhyiddin Yassin. - Foto Awani

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pendekatan itu amat bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya.

Iklan
Iklan

"Bersatu yakin barisan Jemaah Menteri yang baru dilantik mampu mentadbir negara selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara berjalan lancar dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menghayati tema Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin, Muhyiddin berkata, Bersatu berazam dan bertekad memperkasakan amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat.

Iklan

Jelasnya, ia terutama membantu rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

"Bersatu menyeru kepada semua pihak untuk mengetepikan segala perbezaan yang ada dan seterusnya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela rakyat,” katanya.

Iklan

Tambah Muhyiddin, usaha yang berterusan perlu untuk mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majmuk dan seterusnya menjadi pemangkin atau pemacu kepada kemajuan negara pada masa hadapan daripada segala aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial.