Sekolah Malaysia di Palestin lengkap fasiliti

Iklan
Pioneers and Leaders School (PLS) atau Sekolah Malaysia yang terletak di Bandar Gaza. Gambar kecil: Ahmad Jibriel

SHAH ALAM - Cinta Gaza Malaysia (CGM) menerusi kempennya, Education for Gaza (EDU4GAZA) yang dilancarkan oleh pada awal Januari lalu telah memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai isu pendidikan di Palestin.

Ketua Eksekutif Program (Antarabangsa) CGM, Ahmad Jibriel Mohd Yusof berkata, CGM memandang serius isu pendidikan untuk rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, CGM juga telah menjadi pengasas bersama dalam penubuhan Pioneers and Leaders School (PLS) atau Sekolah Malaysia yang terletak di Bandar Gaza sejak awal penubuhannya.

"Kini, Sekolah Malaysia telah mempunyai kelengkapan fasiliti yang mencukupi seperti bilik darjah, makmal komputer, makmal sains, ruang rekreasi, kolam renang dan lain-lain. Usaha ini bagi memastikan pelajar Palestin dapat menimba ilmu pengetahuan dengan suasana yang kondusif.

Iklan

"Jumlah pelajar di Sekolah Malaysia seramai 105 pelajar, 12 guru serta tujuh staf yang terdiri daripada kerani, akauntan, pekerja kebersihan, hubungan luar dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kanak-kanak Palestin yang belajar di Sekolah Malaysia.

Beliau berkata, CGM memfokuskan pembangunan insaniah pelajar pada tahun 2021 untuk memperkasa nilai tambah dalam diri setiap pelajar Sekolah Malaysia melalui kursus-kursus yang berkaitan agar mereka dapat menyumbang kembali kepada sosioekonomi Gaza dan Palestin.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Jibriel berkata, kempen itu menyasarkan jumlah sumbangan RM1 juta dan setakat ini jumlah terkumpul sebanyak RM785,725.81.

"Kempen ini diharapkan dapat mencapai sasaran sebelum 31 Ogos 2021. Pembangunan masa depan anak-anak Gaza akan lebih terjamin serta dapat melahirkan pemimpin masa depan bumi Palestin yang berdaya saing dan berilmu pengetahuan.

"Kos operasi yang diperuntukkan meliputi sewa dan utiliti bangunan, bayaran staf dan guru. Selain itu, bantuan biasiswa juga akan diberikan kepada pelajar cemerlang 90 hingga 95 peratus pelajar berbakat seni, pidato, sukan dan fakir,” katanya.

Ahmad Jibriel berkata, di Palestin, dalam suasana perang yang melanda, kadar celik huruf dicatatkan sangat tinggi, iaitu mencapai sehingga 97 peratus dan menunjukkan mereka sangat mementingkan pendidikan.

"Walaupun beberapa tempat termasuk sekolah dan tempat tinggal mereka musnah akibat pengeboman oleh Zionis Israel, namun semangat untuk menuntut ilmu tidak pernah pudar dalam hati sanubari mereka,” katanya.

Beberapa pelajar Palestin mengambil peluang menghabiskan masa dengan membaca buku.

Beliau berkata, orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian dengan melayari www.edu4gaza.com atau salurkan sumbangan secara terus ke akaun rasmi Persatuan Cinta Gaza Malaysia (Maybank) 5648 1050 7826, rujukan: edu4gaza.

Katanya, CGM juga mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat dalam kerja-kerja penyampaian bantuan kepada Gaza dan mereka yang berminat boleh menghubunginya menerusi talian 016-463 6354 (ibu pejabat).