Raja-Raja Melayu bincang calon Perdana Menteri hari ini

Iklan
Istana Negara

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rakyat Malaysia akan memberi tumpuan kepada perbincangan khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang Jumaat di Istana Negara bagi membincangkan isu semasa termasuk calon Perdana Menteri kesembilan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri akan mempengerusikan perbincangan tersebut seperti mana dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan.

Iklan
Iklan

Perbincangan khas berkaitan kemelut politik semasa negara itu merupakan kali kedua diadakan di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berikutan perletakan jawatan dua Perdana Menteri yang hilang sokongan majoriti.

Pada 28 Februari 2020, Majlis Raja-Raja melayu mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara berhubung tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatannya pada 24 Februari.

Iklan

Raja-Raja Melayu juga pernah mengadakan perbincangan khas pada 25 Oktober 2020 dan menolak pengisytiharan darurat kerana merasakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.

Pada 16 Jun 2021, sekali lagi perbincangan diadakan mengenai isu kesihatan dan politik negara sebelum membuat ketetapan tiada keperluan untuk meletakkan negara di bawah pemerintahan darurat selepas 1 Ogos 2021

Iklan

Pada perbincangan khas kali ini pula, ia diadakan susulan perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lalu yang hilang majoriti apabila terdapat ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadapnya.

Siapa calon Perdana Menteri yang baharu mencetuskan polemik apabila tiada mana-mana parti dan gabungan dalam Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang mempunyai jumlah majoriti, maka kerjasama politik diperlukan ketika ini bagi menamakan seorang ahli Parlimen untuk memegang jawatan nombor satu negara.

Justeru, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ahli Parlimen untuk menghantar surat akaun secara bertulis kepada Istana Negara bagi menamakan dan menyatakan sokongan kepada calon pilihan masing-masing.

Difahamkan hanya dua nama yang mendapat saingan sengit iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, perbincangan khas Raja-Raja Melayu pada Jumaat dijangka menentukan calon yang mendapat sokongan majoriti dan berkemungkinan, satu kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut menyusul kerana rakyat kini semakin ternanti-nanti siapa Perdana Menteri seterusnya yang akan menerajui negara memerangi pandemik Covid-19.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama di Istana Negara pada Selasa. - Foto Bernama