11 maut, puluhan terperangkap tanah runtuh di utara India

Iklan
Anggota ITBP bertungkus lumus menyelamatkan mangsa. Foto: ITBP

SHIMLA - [DIKEMASKINI] Sekurang-kurangnya 11 orang disahkan terkorban dan sekitar 30 mangsa lagi terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di bahagian utara Himalaya di India pada Rabu.

Polis Sempadan Indo-Tibet (ITBP) berkata, sebuah bas membawa 40 penumpang serta trak dan beberapa kenderaan lain yang melalui kawasan itu turut tertimbus di bawah tanah runtuh dan batu besar.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 11 mayat berjaya dikeluarkan dan 10 mangsa diselamatkan," kata ITBP dalam satu kenyataan.

Kejadian berlaku di wilayah Kinnaur di negeri Himachal Pradesh yang terletak kira-kira 600 kilometer di utara New Delhi.

Iklan

Susulan itu, seramai 200 anggota ITBP dikerah ke lokasi kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Kami menjangkakan operasi SAR akan berlanjutan sehingga malam," kata jurucakap ITBP, Vivek Pandey sambil menambah lokasi kejadian amat berbahaya dan mengundang risiko keselamatan kepada pasukan penyelamat.

Iklan

Kejadian runtuhan itu berlaku susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa minggu lalu.

Bulan lalu, sembilan orang terbunuh selepas beberapa bongkah batu besar jatuh dan menimpa kenderaan dinaiki mereka di daerah lain di Kinnaur. - Agensi