Peluang tambah kutipan pingat masih ada

Iklan
Sandaran kini diletakkan di bahu Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk membawa pulang pingat dalam acara keirin.

HARAPAN menyaksikan kontinjen Malaysia menambah koleksi pingat Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih ada apabila dua jaguh lumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi dalam acara keirin.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sandaran kini diletakkan di bahu Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk membawa pulang pingat dari bumi Tokyo.

Iklan
Iklan

"Secara ikhlas saya lebih suka untuk berdoa kerana apa saja boleh berlaku. Jika Azizulhasni dan Shah Firdaus berada pada tahap yang baik, mungkin saja kita dapat saksikan keputusan yang membawa kepada pungutan pingat. Yang terbaiknya adalah berdoa, berdoa dan berdoa,” katanya pada Jumaat.

Selepas ‘berehat’ sehari, Azizulhasni dan Shah Firdaus akan kembali menggegar Velodrom Izu apabila mereka memulakan saingan kelayakan acara keirin pada Sabtu.

Iklan

Reezal Merican berkata, beliau bersama-sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria akan berada di Velodrom Izu untuk memberi sokongan kepada kedua-dua atlet berkenaan.

Pada masa sama, Reezal Merican memaklumkan, beliau sempat berhubung dengan Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk memberi kata-kata semangat sebelum mereka bersaing dalam aksi kelayakan acara keirin nanti.

Iklan

"Ada dua hari sebelum Olimpik melabuhkan tirai. Alhamdulillah, kita bersyukur dapat sebutir pingat gangsa daripada acara badminton tapi dalam acara terjun yang berprospek untuk sumbangkan pingat, kita tak capai sasaran.

"Walaupun ada keputusan yang baik macam (yang dicatatkan) Dhabitah (Nur Dhabitah Sabri), tapi dalam 10 meter platform, kita gagal capai sasaran.

"Saya juga telah berbual dengan Pandelela (Rinong) dan juga (Cheong) Jun Hoong yang meluahkan rasa kecewa serta memohon maaf kerana tidak dapat menyumbang pingat seperti sebelum ini.

"Apapun, kita masih ada lagi Azizulhasni dan Shah Firdaus yang akan teruskan cabaran dalam acara keirin. Kita doakan mereka mampu membawa pulang pingat untuk negara,” ujarnya.