Pengarah syarikat dijatuhi hukuman penjara 67 bulan tipu pelaburan

Iklan
Pengarah Syarikat BIA 1983 Resources, Lim Siong Aik, 44, (tengah) dijatuhi hukuman penjara berjumlah 67 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Isnin. - Foto BernamaPengarah Syarikat BIA 1983 Resources, Lim Siong Aik, 44, (tengah) dijatuhi hukuman penjara berjumlah 67 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Isnin. - Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Seorang pengarah syarikat pelaburan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 67 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap enam pertuduhan penipuan pelaburan pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, Pengarah Syarikat BIA 1983 Resources, Lim Siong Aik, 44, hanya menjalani hukuman penjara 15 bulan selepas mahkamah mengarahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Iklan
Iklan

Dia membuat pengakuan bersalah itu di dua mahkamah berasingan iaitu di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman dan Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha.

Siong Aik didakwa menawarkan satu pelaburan saham serendah RM120 dan pulangan yang dijanjikan akan mengikut tarikh yang diberikan kepada enam orang mangsa di kawasan Seberang Perai Tengah pada awal tahun ini.

Iklan

Keenam-enam mangsa itu kemudian membuat transaksi secara berperingkat ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh, BIA 1983 Resources sehingga mencecah RM72,200 dan kesemua mangsa tidak pernah mendapat sebarang pulangan yang dijanjikan.

Di hadapan Mohd Zaki, tertuduh didakwa dengan empat pertuduhan dan mahkamah menjatuhi hukuman penjara 12 bulan, 15 bulan, 10 bulan dan 12 bulan bagi pertuduhan pertama hingga keempat.

Iklan

Sementara itu di hadapan Sri Pracha, Siong Aik didakwa dengan dua pertuduhan dan setiap pertuduhan dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kalaivanan Murthy, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama