Jual slot temu janji satu penipuan

Iklan
Kegiatan menjual vaksin mencalar imej dan integriti petugas barisan hadapan di pusat vaksin. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Isu penjualan slot janji temu vaksinasi Covid-19 dikelaskan sebagai satu bentuk penipuan dan tidak ada mempunyai unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini tiada laporan diterima pihaknya berkenaan isu terbabit.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tiada unsur rasuah dikesan di peringkat kami (SPRM) dan tidak ada lagi individu direkod keterangan.

"Saya kelaskan ia sebagai bentuk penipuan dan biar polis siasat terlebih dahulu,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata, isu itu telah disiasat oleh pihak polis dan sekiranya ada unsur rasuah dikesan, kes tersebut kemudian akan dirujuk kepada SPRM.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, setakat ini siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan

"Sekiranya dikesan terdapat unsur penggunaan digital, laporan itu akan diserahkan kepada kita (SKMM) dan kita akan bantu polis daripada segi teknikal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Jual vaksin sampai RM800 satu dos

Pada 12 Julai lalu Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menubuhkan sebuah Jawatankuasa Integriti dan Siasatan dianggotai PDRM, SPRM dan SKMM bagi menangani isu penjualan slot janji temu vaksinasi yang dilaporkan sebelum ini.

Azam Baki

Salah guna kuasa, jual slot vaksin untuk warga asing

Sementara itu, penyalahgunaan kuasa dilihat faktor utama berlakunya kes penjualan vaksin secara haram di beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di negara ini.

Menurut sumber, punca penjualan vaksin secara haram itu kemungkinan besar daripada kelompok yang mempunyai akses terus kepada sistem yang boleh menyenaraikan nama sebagai penerima dos.

Sumber berkata, sebagai pengendali PPV yang turut bekerjasama dengan pihak penyedia venue untuk sesi vaksinasi, ada pihak telah mengambil kesempatan daripada kerjasama tersebut.

Jelas sumber, sebagai hos yang menyediakan tempat untuk proses vaksinasi, kesempatan digunakan untuk meminta slot bagi diberikan kepada pihaknya setiap hari.

Kata sumber, permohonan slot yang diminta itu bukan sedikit, dengan alasan pihak mereka telah menyediakan kemudahan dan peruntukan makanan secara percuma di PPV.

"Sebagai pihak pengendali yang diberi kebenaran menguruskan PPV, kami mengesyaki ada pihak daripada penaja kemudahan telah mengambil kesempatan.

"Kelompok yang tidak bertanggungjawab ini telah menjual slot yang diberikan kepada mereka kepada orang ramai termasuk warga asing dari negara jiran dan Eropah. Jika tidak, bagaimana individu bukan warganegara Malaysia boleh datang ke PPV untuk divaksin?” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah sumber, ada individu yang datang dengan perasaan marah apabila namanya dinyatakan tiada dalam senarai penerima vaksin, sedangkan individu terbabit mendakwa telah membuat pembayaran sebanyak RM50.

Dalam pada itu, hanya sejak seminggu lalu, kerajaan mengarahkan semua PPV di seluruh negara untuk menerima pekerja warga asing yang mempunyai pengesahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Sebelum ini suntikan vaksin di PPV hanya untuk rakyat Malaysia.