Vitamin C cegah Covid-19 hanya mitos

Iklan
Tidak dinafikan Vitamin C mempunyai banyak khasiat namun rakyat Malaysia disarankan untuk tidak mengambilnya melebihi dos yang sepatutnya kerana boleh mengundang pelbagai kesan sampingan dan menggantikannya dengan memakan buahan-buahan di dalam rutin diet seharian.

SHAH ALAM - Pakar-pakar kesihatan menegaskan pengambilan vitamin C secara berlebihan sebagai langkah untuk mencegah jangkitan Covid-19 hanyalah satu mitos dan akan memudaratkan kesihatan sekiranya diambil terlalu banyak.

Timbalan Presiden Persatuan Medical Mythbusters Malaysia, Mohd Dziehan Mustapa berkata, tidak ada bukti saintifik bahawa pengambilan suplemen vitamin C secara oral akan membantu merawat atau mencegah Covid-19.

Iklan
Iklan

"Setakat hari ini, tidak ada penawar untuk Covid-19 di mana langkah pencegahan terbaik hanyalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga kebersihan.

"Untuk mendapatkan keperluan vitamin C yang cukup, pastikan anda memakan pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Mikronutrien seperti vitamin D dan C dan zink memainkan peranan penting untuk kesihatan imun tubuh,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mohd Dziehan yang juga ahli farmasi berpengalaman selama 17 tahun itu berkata, pengambilan dos maksimum vitamin C dalam sehari yang dinyatakan selamat adalah tidak melebihi 2,000 miligram (mg).

"Sebenarnya dos sebanyak 200mg sudah mencukupi. Saranan pengambilan Nutrients-Malaysia (RNI) dalam kalangan individu dewasa untuk vitamin C adalah 70mg/sehari sahaja. Keperluan sebanyak ini (200mg) juga boleh diperoleh melalui sumber sayur-sayuran dan buah-buahan.

Iklan

"Serapan tubuh jika vitamin C diambil secara oral adalah sekitar 69 peratus manakala dos melebihi 1,000mg sehari pula adalah tinggi dan boleh menyebabkan seseorang itu alami kesan sampingan,” katanya.

Tidak bertanggungjawab

Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Suhazeli Abdullah berkata, sesetengah pihak yang suka menyebarkan mitos tentang vitamin C atau suplemen berbahaya kepada masyarakat hingga terpedaya adalah sifat yang sangat tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, pengambilan vitamin C secara berlebihan akan mendatangkan ketidakselesaan pada perut, cirit-birit dan jika diserap dalam darah, pembentukan batu karang di buah pinggang akan berlaku.

"Tahap tertinggi (Tolerable Upper Intake Level) pengambilan vitamin C bagi dewasa adalah 2,000 mg sehari selebihnya akan menyebabkan toksik. Jika mengambil melebihi dari tahap ini, ia akan menyebabkan masalah kesihatan.

"Perbuatan ini boleh membahayakan diri. Mekanisme vitamin C akan menyebabkan kulit semakin putih kerana pembentukan melanin kulit akan terganggu. Kita mengubah proses normal tubuh kita. Ini boleh mengundang bahaya,” tegasnya.

Dr Suhazeli berkata, sebarang bentuk suplemen adalah bukan asas dan gizi pemakanan seharian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan sudah pun mencukupi semua vitamin yang diperlukan dalam badan termasuklah vitamin C.

"Ingat perkataan suplemen itu sendiri, ia adalah pemakanan tambahan. Suplemen bukan asas.

"Kita bukan rakyat negara ketiga yang miskin sehingga tidak cukup gizi pemakanan seharian. Jika perlu sekalipun, perlu diluluskan oleh ahli perubatan, bukannya jurujual.

"Terdapat beberapa golongan yang dinasihatkan oleh doktor untuk mengambil vitamin C seperti ibu hamil dan menyusu badan. Itu pun mereka perlu mendapat khidmat kaunseling perubatan daripada doktor sebelum mengambil pil vitamin yang khusus untuk diamalkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Obses ambil vitamin C sampai rosak buah pinggang

ARTIKEL BERKAITAN:Terpengaruh dengan rakan ambil suplemen secara berlebihan

ARTIKEL BERKAITAN:Sakit perut selepas ambil 2,000mg vitamin C sehari

INFO

MENGENAI PENGAMBILAN DOS VITAMIN C

Berapa banyak dos vitamin C diperlukan sehari: 200mg sudah mencukupi

Berapa dos maksimum vitamin C untuk sehari: Tidak melebih 2,000mg

Pengambilan vitamin C secara berlebihan akan menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit perut dan cirit-birit. Had maksimum yang mampu ditanggung (tolerable) oleh perut kita, selebihnya akan menyebabkan toksik.

* Saranan ini bagi orang dewasa

MANFAAT VITAMIN C KEPADA BADAN MANUSIA

Menurut laman rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Vitamin C mempunyai kebaikan dari segi fungsi fisiologi seperti kolagen dan merupakan antioksida semula jadi yang membantu melindungi sel daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas.

Antara kebaikan vitamin C

1. Meningkatkan penyerapan zat besi

Bagi pesakit yang memerlukan suplemen kesihatan zat besi (contohnya: wanita hamil), ia adalah disyorkan bahawa suplemen kesihatan zat besi diambil bersama-sama dengan vitamin C.

2. Pengambilan vitamin C secara tetap boleh mengurangkan tempoh dan keterukan selesema

3. Mengurangkan risiko mendapat kanser. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan vitamin C yang tinggi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran boleh mengurangkan risiko mendapat kanser tetapi vitamin C daripada suplemen kesihatan tidak membawa manfaat ini.