Kerajaan negeri berhak lulus atau tolak permohonan Zakir Naik

Iklan
Dr Mujahid Yusof.(Gambar kecil:Dr Zakir Naik)

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada negeri-negeri sama ada membenarkan atau melarang ceramah melibatkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik.

Memetik laporan Malaysiakini, Mujahid berkata, semua negeri mempunyai hak meluluskan atau menolak permohonan penganjur melibatkan pendakwah dari India itu.

Iklan
Iklan

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan setiap negeri untuk membuat keputusan. Kami percaya pada penilaian setiap negeri mengenai hal ini, tetapi kami mempunyai garis panduan umum yang selagi kegiatan tersebut tidak menghalang perpaduan negara tetapi membantu mempromosikannya, dan bukan sebaliknya.

Jadi mengapa pula kita hendak menghentikan seorang intelektual yang mahu bercakap tentang perkara yang baik? Tetapi jika beliau atau orang lain mendekati perkara yang menimbulkan kebencian, maka ia satu hal yang lain," kata Mujahid seperti dilapor Malaysiakini.

Iklan

Baru-baru ini, permohonan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa Pulau Pinang (Ipsi) bagi menggunakan Stadium Bandaraya di Georgetown, Pulau Pinang sebagai lokasi ceramah umum Zakir ditolak.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjelaskan permohonan itu ditolak kerana pihak pengurusan Stadium Bandaraya sudah menerima tempahan daripada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) membabitkan perlawanan bola sepak Liga Premier 2019 yang dijadualkan berlangsung bermula bulan ini hingga Julai depan.

Iklan

Dalam pada itu, Mujahid mengakui terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatan atau pandangan Zakir, termasuk di kalangan umat Islam sendiri.

"Ia berlaku apabila perdebatan itu terbuka, dan perkara-perkara yang dikatakan tidak sesuai dengan sesetengah orang. Ia akan menjadi berbeza jika dialog itu berada di tempat tertutup, dan bukan stadium terbuka, di mana beribu-ribu orang hadir," katanya.