PdPR kekal bagi semua murid lima negeri Fasa 2 PPN

Iklan
Sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara PdPR. - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Sesi persekolahan bagi murid-murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) meskipun negeri-negeri itu akan beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, takwin tersebut kekal seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan dalam sidang media pada 6 Jun 2021.

Iklan
Iklan

"Ini bermakna, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi murid kelas peperiksaan di negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang akan terus dilaksanakan secara PdPR sehingga cuti pertengahan penggal yang akan bermula pada 16 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 17 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B.

"Pemakluman lanjut mengenai pengoperasian sekolah bagi sesi persekolahan penggal berikutnya yang dijadualkan pada 25 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan A dan 26 Julai 2021 bagi negeri Kumpulan B akan dibuat oleh KPM sekurang-kurangnya seminggu sebelum penggal persekolahan tersebut bermula,” katanya satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Kenyataan itu susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) pada 3 Julai 2021 berkaitan peralihan ke Fasa 2 PPN bagi negeri Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa mulai 5 Julai 2021.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 2 PPN, sekolah dibenarkan beroperasi untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka tetapi terhad kepada murid kelas peperiksaan sahaja.

Iklan

MKN turut memberi kebenaran pergerakan rentas negeri dan daerah bagi guru dan murid kelas peperiksaan yang terlibat sekiranya sekolah dibuka.