Gagal SPM, tak layak ke IPTA bukan halangan kejayaan

Iklan
Nur Atiqah menunjukkan anugerah yang diterimanya.
PERMATANG PAUH - Kegagalan sebelum ini dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mencari ilmu sehingga menjejak kaki ke menara gading.

Walaupun pernah mendapat keputusan 5D dalam SPM sehinggakan dia tidak langsung layak ke universiti namun bagi Nur Atiqah Nasser Shah, 26, dia tetap mahu berusaha bagi membuktikan kepada ahli keluarganya yang dia juga mampu berjaya.

Anak kelahiran Kuala Muda itu tidak berputus asa dan memohon mengikuti pengajian pra diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.

Menurutnya, ketika di peringkat diploma juga dia sering gagal dalam peperiksaan sehingga terpaksa mengulang beberapa subjek sebelum akhirnya berjaya melangkah ke peringkat ijazah sarjana muda.

"Saya sedar yang saya bukanlah tergolong dalam kategori budak pandai tetapi saya ada semangat untuk belajar.

"Pada masa sama, ayah saya memberi dorongan untuk sambung ijazah selain saya juga memasang impian untuk memakai selempang pelajar terbaik pada hari konvokesyen," katanya yang terpilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Sarjana Muda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-89, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.

Mengulas mengenai kejayaannya, Nur Atiqah berkata, pensyarah di UiTM Pulau Pinang banyak membantunya.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Elektrik dan Elektronik itu juga mengakui sebagai anak kepada seorang nelayan, dia memiliki tanggungjawab besar untuk mengubah nasib keluarganya.

"Bapa saya nelayan manakala ibu pula kerja kilang jadi saya perlu buktikan pengorbanan mereka selama ini berbaloi serta mampu jadi pendorong untuk adik perempuan yang kini sedang menduduki SPM," katanya.