Ada bekas penguat kuasa jadi tali barut penyeludup

Iklan
Batalion 4 PGA merampas pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai menerusi Ops Kontraban di sekitar Selangor pada tahun ini. - FOTO: ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Bermacam helah digunakan oleh penyeludup untuk mengelak tindakan pihak berkuasa.

Selain berselindung di sebalik perniagaan yang sah, helah terbaharu jenayah penyeludupan kontraban itu ialah menggunakan khidmat bekas pegawai penguat kuasa yang mempunyai kemahiran dalam proses pengendalian kemasukan barangan import.

Iklan
Iklan

Mendedahkan taktik licik berkenaan, Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, bekas pegawai penguat kuasa itu mahir dan tahu seelok-belok dokumen mana diperlukan bagi mengesahkan kemasukan barangan dari luar negara.

"Kerja-kerja ini memerlukan penelitian. Jika tidak, kegiatan boleh terbongkar. Jadi sindiket penyeludupan memang mahu bekas penguat kuasa bekerja dengan mereka,” katanya dalam temu bual khas Bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Iklan

Beliau turut mengakui dalang kegiatan haram itu memiliki gelaran Datuk dan Datuk Seri.

"Gelaran ini membuatkan mereka lebih dihormati, sekali gus menutup kegiatan jenayah yang dilakukan.

Iklan

"Kita juga percaya juga wujud elemen kongsi gelap dalam setiap kegiatan penyeludupan kerana ia melibatkan ahli dan pekerja yang ramai,” katanya.

Menurut Rizal, berbeza dengan taktik sindiket dadah yang didalangi individu bertopengkan ahli perniagaan, dalang penyeludupan barangan kontraban itu lebih licik dan sukar untuk dibawa ke muka pengadilan jika tiada bukti kukuh.

Ops Kontraban sepasukan Batalion 4 PGA berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok dari Indonesia dengan rampasan rokok bernilai RM3 juta termasuk cukai dalam serbuan berasingan di sekitar Kajang, Selangor pada 20 Mei lalu.

Pendedahan eksklusif Sinar Harian mengenai Raja Penyeludup bernama Jimmy yang aktif menyeludup masuk rokok dari negara jiran bukti kumpulan penyeludup seperti itu mempunyai rangkaian besar bagi mendominasi kegiatan haram terbabit.

Apa itu kontraban? Ia diambil daripada perkataan ‘contraband’ yang membawa maksud sesuatu barang yang diimport atau dieksport secara haram tanpa membayar cukai, tidak diisytiharkan, diseludup atau barangan itu sendiri sememangnya diharamkan dibawa masuk mahu pun diimport.

Lazimnya barangan itu merangkumi barang seperti rokok, minuman keras, beras, minyak masak dan mercun.

40 individu terlibat aktiviti penyeludupan ditahan

Seramai 40 individu telah diberkas terbabit dalam kegiatan penyeludupan menerusi Ops Kontraban bagi tempoh tahun 2019 hingga Mei ini.

Menurutnya, hasil rampasan yang dibuat ini mencecah RM14.5 juta.

"Mengikut pecahan, pada tahun 2019 seramai lima orang ditahan dengan rampasan rokok seludup, kenderaan serta wang tunai RM23,275 membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1.6 juta.

"Pada tahun berikutnya, seramai 15 suspek diberkas selain rampasan rokok, minuman keras pelbagai jenama, lori, kereta telefon bimbit dan wang tunai RM34,280 di mana keseluruhannya bernilai RM3.9 juta,” katanya.

Beliau berkata, pada awal tahun ini sehingga Mei, seramai 20 individu pula ditahan.

Hasil tangkapan ini, katanya, PGA Batalion 4 merampas pelbagai barang termasuklah beras, rokok dan mercun selain kenderaan kontena, lori dan kereta, telefon bimbit dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM8.9 juta.

Modus operandi sindiket

Dedah Rizal, modus operandi penyeludupan barangan kontraban bergantung kepada jenis barang.

"Contohnya rokok. Rokok seludup ini kebanyakannya memang dari negara seberang. Ada dari Indonesia dan Vietnam berdasarkan daripada rampasan yang diperolehi.

"Jadi, taktik itu dikesan di mana kapal besar dari negara terbabit akan berada di perairan antarabangsa sebelum kapal kecil atau bot nelayan tempatan ini akan ambil sebelum masuk melalui jalan-jalan tikus.

"Siasatan mendapati mereka ini bukanlah daripada kalangan warga nelayan tetapi hanya menggunakan bot saiz nelayan. Muatan rokok yang dibawa bergantung kepada saiz bot dan boleh dimuatkan di dalam satu lori bonded,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi sindiket penyeludupan yang terancang itu, mereka dikesan menggunakan laluan sah iaitu pelabuhan di mana sindiket atau suspek akan isytihar barangan itu sebagai barang yang sah.

"Ia sama juga seperti arak dan barangan kontraban lain termasuk beras. Bila sampai di pelabuhan, akan isytihar sebagai barangan lain atau bercampur dengan barangan lain yang dibenarkan. Ini direkodkan seperti yang dikesan susulan rampasan beras tidak bercukai bernilai RM2.6 juta di Klang pada Mac lalu.

"Kontena itu didapati membawa muatan berisi pakaian dan peralatan sembahyang. Selepas diperiksa menemui beras seludup yang disorokkan di bahagian belakang,” katanya.

Tambahnya, dalam kuantiti yang besar dan mempunyai jaringan yang lebar, modus operandi mereka itu lebih tersusun.

"Bagi sindiket arak, suspek akan menggunakan dokumen yang sah bagi setiap transaksi sedangkan dokumen itu hanya sah untuk satu transaksi sahaja.

"Mengimport arak untuk pasaran tertentu seperti arak bebas cukai dan sepatutnya tidak boleh dijual di kedai kedai biasa tetapi sebaliknya yang berlaku. Lakonan mereka begitu mantap sekali sehingga memperdayakan kita. Kami sedar dan kami sedang memerhati,” katanya.

Bagi kegiatan penyeludupan mercun, katanya, PGA Batalion 4 mengesan cubaan membawa masuk mercun dengan surat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk tujuan pesta.

Geng Jimmy menggunakan bot bagi menyeludup masuk rokok melalui persisiran pantai di Kelantan.

"Namun perkara itu terbongkar kerana tiada sebarang penganjuran pesta sekarang ni dan mercun yang dibawa itu bukanlah mercun pesta sebaliknya mercun yang biasa digunakan untuk musim perayaan.

"Ada juga kes di mana mereka isytihar mercun yang dibenarkan iaitu pop pop dan bunga api, tetapi pemeriksaan menemui pelbagai jenis mercun yang tidak diluluskan,” katanya.

Ujar beliau, siasatan juga mendapati setiap kegiatan penyeludupan terutama di laluan laut, sindiket menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi kehadiran atau rondaan pihak berkuasa.

"Ini penting buat mereka (sindiket), tonto ini akan berhubung antara satu sama lain untuk memastikan kegiatan haram mereka berjalan lancar, memastikan aktiviti atau perjalanan selamat.

"Ini sindiket terancang yang ada hubungan dengan negara luar,” katanya.

Anggota berdepan ugutan sindiket

"Sebelum ini saya ada mendengar anggota PGA diugut oleh penyeludup. Tetapi sekarang tidak lagi kerana mereka tahu tindakan 'menjadi kawan lebih baik daripada menjadi lawan'.

"Namun kita akan tetap berwaspada kerana setiap kali pegawai saya membuat tangkapan dan rampasan akan kedengaran suara sumbang yang memperlekehkan tindakan kami. Bayangkan semasa melakukan serbuan tidak sampai 10 minit maklumat itu diketahui oleh orang lain iaitu mereka yang tiada hubungan dengan operasi,” kata Rizal.

Tegasnya, bagaimana mereka tahu secepat itu jika tidak dihubungi oleh sindiket dan itu menunjukkan siapa mereka sebenarnya.

"Kepada mereka yang tidak puas hati dengan tindakan ke atas kontraban ini, saya syorkan muhasabah diri atau kekal menjadi manusia yang dilaknat,” katanya.

Punca penyeludupan masih berlaku

Menurut beliau, punca masih berlaku penyeludupan adalah disebabkan oleh faktor penarik iaitu keuntungan menjadi pembekal, pembawa, penyimpan, pengedar, penjual, dalang, pembelot dan penderhaka kepada negara.

"Kalau kita lihat bagi kes seludup rokok. Ada sebahagian rokok seludup yang dijual di mana harganya hampir menyamai rokok yang sah dan bercukai di pasaran.

"Kalau dulu kita lihat harga rokok seludup ini boleh diperolehi RM3 hingga RM4, tetapi sekarang tidak dapat disebabkan penguatkuasaan yang tinggi.

"Sekarang harga paling murah ada RM8 hingga RM13 dan itu hampir-hampir dengan harga rokok yang bercukai,” katanya.

Namun, katanya, masih lagi berlaku penjualan itu kerana ada permintaan.

"Bila ada permintaan adalah pengeluaran," katanya.

Ujar Rizal, tindakan agresif akan tetap diteruskan dengan menyusun langkah strategi.

"Kita mesti lebih ke hadapan dan melakukan metamorphosis jika mahu berjaya,” katanya.

Amaran buat pengkhianat

Rizal berkata, aktiviti penyeludupan merugikan kerana negara kehilangan cukai yang sepatutnya dijelaskan bagi pembangunan negara.

"Dasar tidak bertanggungjawab ini membahayakan rakyat kerana kandungan bahan di dalam minuman dan makanan tidak diperiksa dan disahkan.

"Negara ini ada undang undang dan ramai penguat kuasa akan membanterasnya. Kamu tidak mampu untuk menebus kesalahan kamu.

"Kepada mereka yang bersekongkol, bertaubatlah dan jangan jadi pembelot, penderhaka dan pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara. Nikmat dunia ini sementara sahaja, sampai masa akan ditarik jua. Insaflah sebelum terlambat.

"Kerjasama orang ramai amat amat diperlukan bagi mengekang aktiviti kontraban ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] Geng Jimmy dalam radar Maritim

Info Statistik Ops Kontraban Batalion 4 PGA

Tahun 2019

Tangkapan - 5 orang

Rampasan - 33,948 kotak rokok pelbagai jenama

- 7 kenderaan

- Wang tunai RM23,275

Nilai Rampasan - RM1.6 juta

Tahun 2020

Tangkapan - 15 orang

Rampasan - 190 karton, 1,323 kotak, 420 botol minuman keras pelbagai jenama

- 7,982 karton rokok pelbagai jenama

- 6 lori, 7 kereta

- 21 telefon bimbit

- Wang tunai RM34,280

Nilai Rampasan - RM3.9 juta

Tahun 2021 (sehingga Mei)

Tangkapan - 20 orang

Rampasan - 84 karton, 988 kotak, 2,279 botol, 5,060 tin minuman keras pelbagai jenama

- 17,713 karton rokok pelbagai jenama

- 718 kampit beras, 260 kotak beras, 292 guni beras pelbagai jenama

- 451 kotak mercun

- 1 kontena, 5 lori, 13 kereta

- 30 telefon bimbit

- Wang tunai RM43,432

Nilai Rampasan - 8.9 juta