Pengambilan pegawai perubatan diteruskan

Iklan
Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR - Pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan malah diteruskan seperti biasa, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pengambilan graduan perubatan terus dilaksanakan bagi graduan yang diluluskan pelantikannya oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk memberi pendedahan pengalaman bekerja sepertimana obligasi yang ditetapkan oleh Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Iklan
Iklan

"Sejak Disember 2016, pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa lagi bergantung pada kekosongan tetap yang terhad.

"Kontrak yang ditawarkan adalah hingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudiannya disambung dua tahun lagi untuk membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pandangan yang dikemukakan oleh Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia supaya kerajaan meneliti semula pengambilan penempatan lantikan baharu graduan perubatan untuk berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Penelitian itu dicadangkan bagi memastikan graduan perubatan, khususnya dalam kalangan bumiputera, dapat berkhidmat secara tetap dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran bidang profesional di negara ini.

Iklan

Dr Adham berkata, bagi tempoh Disember 2016 hingga 31 Mei 2021, seramai 23,077 pegawai perubatan UD41 telah dilantik secara kontrak bagi menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 789 daripada 2,544 pegawai daripada Kohort Lantikan 1 Tahun 2016, Kohort Lantikan 1 Tahun 2017 dan sebahagian Kohort Lantikan 2 Tahun 2017 yang layak diperakukan pelantikan tetap telahpun ditawarkan pelantikan tetap oleh SPA.

"Kohort lantikan lain yang masih dalam latihan dan belum ditimbangkan pelantikan tetap, perkhidmatan mereka masih disambung hingga 2022,” katanya.

Berhubung pelantikan secara tetap, beliau berkata, pelantikan itu dilaksanakan berdasarkan kekosongan jawatan tetap dari semasa ke semasa, dan ditawarkan kepada pegawai yang melepasi kriteria pelantikan tetap yang telah digariskan menerusi surat pekeliling yang ditetapkan.

"Bagi memastikan penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama, proses penilaian semasa latihan siswazah dibuat pada setiap penempatan dan kriteria penilaian pelantikan tetap juga dimaklumkan kepada setiap pegawai,” katanya.

Selain itu, Dr Adham berkata, KKM juga telah menubuhkan tiga peringkat jawatankuasa penilaian iaitu Jawatankuasa Teknikal Pelantikan Tetap di peringkat program perubatan, Jawatankuasa Pemilihan Pelantikan Tetap yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) serta perakuan pelantikan tetap kepada pengurusan tertinggi kementerian bagi memelihara ketelusan dan integriti dalam proses memperakukan pelantikan secara tetap.

Beliau turut mengingatkan bahawa peluang pekerjaan dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak hanya diberikan oleh KKM tetapi turut terdapat di hospital di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pertahanan dan sektor swasta. - Bernama