Gangguan seksual: UiTM tak kompromi, buat laporan polis

Iklan
UiTM memandang serius dan tidak akan berkompromi berhubung dakwaan tenaga pengajarnya melakukan gangguan seksual terhadap beberapa penuntut.

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas terhadap kakitangan mereka yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kuasa dalam menjalankan tugas.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM, Nora Noordin berkata, institusi pengajian tinggi itu sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti warganya khusus dalam mengamalkan budaya intergriti serta profesional yang tinggi.

Iklan
Iklan

Nora berkata, UiTM juga memandang serius dakwaan gangguan seksual yang dilakukan oleh seorang tenaga pengajar terhadap beberapa penuntut institusi itu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

"UiTM telah mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman menyiasat secara terperinci dakwaan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beberapa portal berita sebelum ini melaporkan dakwaan pelajar mengenai seorang tenaga pengajar di institusi pengajian terbabit di Selangor yang melakukan gangguan seksual ke atas beberapa penuntut di sini.

Difahamkan, seramai 15 mangsa tampil menunjukkan perbualan secara peribadi dengan pensyarah sama yang membuat komen seksual terhadap mereka.

Iklan

Mengulas lanjut, Nora berkata, orang ramai khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai kebajikan, keselamatan dan hal ehwal pelajar kerana perkara itu merupakan keutamaan UiTM.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti sedia ada," katanya.

Tambahnya, UiTM juga komited menanganinya dan turut membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi memudahkan proses siasatan," katanya.