MAIPs salur peruntukan tambahan RM1.2 juta bantuan khas masjid

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.02 juta untuk Bantuan Kecemasan Khas Masjid MAIPs susulan pelanjutan Sekatan Pergerakan Penuh.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sumbangan tersebut merupakan sebahagian inisiatif berjumlah RM7.2 juta yang diperuntukkan MAIPs untuk diagihkan kepada golongan asnaf melalui masjid-masjid di seluruh negeri bermula 14 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Baginda merupakan Yang Dipertua MAIPs sentiasa prihatin terhadap nasib mereka yang terjejas ekoran pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang disambung sehingga 28 Jun depan.

"Inisiatif ini diharapkan mendapat kerjasama daripada semua pihak pengurusan masjid dalam memastikan sumbangan tersebut dimanfaatkan mengikut tujuan dan garis panduan yang telah ditetapkan," titah baginda.

Iklan

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bantuan berkenaan bagaimanapun tidak disenaraikan dalam Bantuan Khas Rangsangan Asnaf sebanyak RM5.45 juta seperti yang diumumkan MAIPs pada 11 Jun lalu.

"Bantuan ini disasarkan kepada lebih 5,000 orang penerima dengan jumlah sumbangan sebanyak RM200 untuk keperluan mendesak golongan asnaf yang terjejas," titah baginda.

Iklan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor menjelaskan, penyaluran bantuan berkenaan adalah melalui pengagihan yang akan dilaksanakan oleh amil atau Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid di seluruh negeri Perlis.