Pelan Pemulihan Negara usaha kerajaan akhiri kemelut Covid-19

Iklan
Hasleen

SHAH ALAM - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menegaskan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa sebagai manifestasi kepada hasrat dan usaha kerajaan untuk mengakhiri kemelut pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin berkata, pelan berkenaan dijangka mengembalikan ekonomi Malaysia ke tahap prapandemik pada kadar segera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, SPNB menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman pelan tersebut.

"Sebagai salah satu pemain dalam industri perumahan di Malaysia, SPNB percaya sebarang usaha untuk memulihkan negara dari segi ekonomi mahupun kesihatan harus disokong penuh.

Iklan

"Ia bukan sahaja menjamin kelangsungan sektor perumahan dan pembinaan tetapi dapat memastikan syarikat dapat menunaikan janji untuk terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Hasleen berkata, SPNB turut menyambut baik langkah kerajaan untuk melancarkan program pemberian vaksin kepada sektor ekonomi kritikal menerusi Fasa Keempat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) seperti yang diumumkan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) baru-baru ini.

Iklan

"SPNB maklum wujudnya risiko penularan wabak terutamanya melibatkan kluster tempat kerja. Kami percaya usaha kerajaan mempercepatkan proses imunisasi kepada sektor ekonomi kritikal yang menjadi teras kepada pembangunan ekonomi adalah bertepatan dengan usaha untuk menyegerakan proses pemulihan negara.

"SPNB juga menyokong program imunisasi. Apabila sektor-sektor kritikal sudah boleh beroperasi dengan baik, ia secara tidak langsung bakal menyokong sektor-sektor ekonomi yang lainnya, bertepatan dengan indikator dan fasa yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, SPNB tumpu untuk terus bekerjasama dengan kerajaan, pemegang taruh dalam industri serta pelanggan-pelanggan untuk memastikan semua pihak cekal dan tabah bersama -sama mengharungi dan mengakhiri kemelut itu.

"SPNB akan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam operasi dan memantau serta menggalakkan vaksinasi dalam kalangan kakitangan, kontraktor dan pembekal sepanjang operasi waktu pemulihan,” katanya.