TNB santuni 9,918 asnaf

Iklan
Juruteknik Bahagian Senggaraan Elektrik TNB, Mohd Kairi Mohd Yusoff (kanan) menyerahkan sumbangan Ihya' Ramadhan 1442H kepada 30 keluarga di Rumah Pangsa Taman Hijau, Sitiawan, Perak pada 27 April lalu.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengedarkan barangan keperluan asas dan wang saku kepada 9,918 asnaf sejak 27 April lalu bagi membantu mereka yang terkesan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumbangan barangan berupa beras, gula, telur, biskut, serbuk teh, tepung, kurma, barangan dapur dan lain-lain itu diedarkan menerusi pelbagai program anjuran TNB bagi meringankan beban penerima sepanjang Ramadan dan Syawal, selain menceriakan sambutan dua bulan yang mulia itu.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Penyelesaian Perniagaan TNB, Mohamad Ariff Zainol berkata, TNB memperuntukkan sejumlah RM420,000 untuk program-program penyerahan bantuan keperluan asas tersebut bagi memenuhi komitmennya sebagai warga korporat yang prihatin.

Mohammad Arif

Menurutnya, TNB berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban keluarga penerima bantuan, pada masa yang sama mengeratkan silaturahim TNB dengan masyarakat yang memerlukan.

Iklan

"Berikutan pelaksanaan PKP 3.0, sebahagian bantuan diserah secara terus dengan warga kerja kami menyantuni penerima bantuan dengan menyerahkan barangan dari rumah ke rumah, termasuk di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Pendekatan ini juga, insya-ALLAH dapat mengukuhkan amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Selain berkongsi rezeki bersama golongan yang terkesan akibat kekangan PKP 3.0 ketika ini, TNB juga menyokong usaha pelaksanaan program vaksinasi negara.

"TNB memastikan hampir semua warga kerjanya mendaftar untuk vaksinasi serta memastikan bekalan elektrik ke Pusat Pemberian Vaksinasi dan Pusat Simpanan Vaksin berada dalam keadaan baik dan teratur,” katanya.

Juruteknik Bahagian Senggaraan Elektrik TNB, Mohd Jamil Ramlan (kiri) menyerahkan sumbangan Ihya' Ramadhan 1442H pada 27 April lalu di Rumah Pangsa Taman Hijau, Sitiawan, Perak.