Pas cadang penyelesaian isu harga minyak masak

Iklan
Seorang pekerja di sebuah pasar raya sekitar ibu kota kelihatan sedang menyusun pelbagai jenis minyak masak botol ketika tinjauan hari ini.
 - Foto Bernama, gambar kecil: Ahmad Tarmizi Sulaiman

SHAH ALAM - Pas memberikan cadangan jangka pendek dan panjang berhubung isu kenaikan harga minyak masak untuk dipertimbangkan kerajaan.

Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Kepenggunaan Pas, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, cadangan tersebut diyakini mampu meredakan sedikit ketegangan rakyat berhubung masalah itu pada masa kini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara langkah jangka pendek ialah kerajaan perlu menambah sedikit lagi subsidi termasuk untuk minyak masak botol.

Selain itu, katanya, kerajaan juga disarankan supaya mengurangkan pengeluaran minyak masak botol, sebaliknya melebihkan kepada minyak masak peket seberat satu kilogram.

Iklan

"Ketiga, hadkan maksimum pembelian dalam sehari bagi setiap isi rumah kecuali pengendali makanan atau operasi makanan. Cadangan keempat pula ialah memenuhi keperluan minyak masak dalam negara dahulu berbanding eksport.

"Kerajaan juga perlu mengetatkan lagi pemantauan dan kawalan penyeludupan minyak masak di sempadan negara yang dilaporkan sering cuba dilakukan pihak tertentu. Langkah ini tentunya dapat menyeimbangkan segala kekalutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Ahmad Tarmizi berkata, langkah jangka panjang yang boleh diambil pula adalah mengadakan penetapan dua harga berbeza untuk jualan dalam negara dan pasaran luar negara.

Ahli Parlimen Sik itu menjelaskan, langkah itu bukan sahaja dapat menurunkan harga jualan minyak masak sawit sama ada peket dan botol, tetapi dapat meringankan tanggungan subsidi bagi pihak kerajaan.

"Paling penting rakyat termasuk para pekebun sawit serta keluarga dapat menikmati hidup tanpa terjejas. Insya-ALLAH, kesejahteraan rakyat akan lebih memakmurkan di bawah teraju kerajaan yang prihatin,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya satu pasukan khas untuk mengkaji mekanisme kawalan harga serta pasukan penguatkuasaan melibatkan kerjasama antara kementerian ditubuhkan.

Katanya, ia untuk menjamin kawalan harga barangan keperluan harian secara bersepadu setiap masa bagi kepentingan bersama pengguna, penggerak industri dan pemegang taruh berkaitan.