Lapan dikompaun sambut hari jadi di bilik hotel

Iklan
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah bilik hotel di ibu kota pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Tindakan lapan individu termasuk tiga wanita yang teruja mengadakan parti sambutan hari lahir di sebuah bilik hotel di ibu kota membawa padah selepas mereka dikompaun kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua mereka yang berusia antara 20-an hingga 30-an itu ditahan pada jam 12 tengah malam.

Iklan
Iklan

"Hasil maklumat orang awam, kita membuat serbuan di lokasi berkenaan dan menahan kesemua individu itu. Kita turut merampas beberapa alat muzik serta minuman keras yang ditemui di dalam bilik hotel berkenaan," katanya kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini pada Isnin.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati bilik hotel berkenaan ditempah oleh salah seorang daripada lima suspek lelaki yang ditahan.

Iklan

"Hasil soal siasat, lelaki berusia 25 tahun itu mendakwa bilik hotel berkenaan disewa pada kadar RM500 bagi satu malam untuk sambutan hari jadi," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang juga penganggur itu dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan melakukan aktiviti sosial dalam tempoh PKP.

Iklan

"Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan 17(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Zainal memaklumkan, pihaknya mengeluarkan 69 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP sejak 1 Jun lalu hingga Isnin.

"Daripada jumlah itu, 40 kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan melakukan aktiviti sosial seperti parti persendirian serta sambutan hari jadi termasuk lapan individu yang ditahan tengah malam tadi.

"Ada juga kompaun yang dikeluarkan kerana kesalahan tidak membuat imbasan kod MySejahtera serta tidak memakai pelitup muka," katanya.

Mohamad Zainal menasihati orang ramai supaya mematuhi SOP PKP ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan kompaun selain mengawal penularan Covid-19.