Laluan ditutup akibat pokok tumbang di depan Muzium Negara

Iklan
Tangkap layar rakaman video yang tular libat kejadian pokok tumbang di depan Muzium Negara petang tadi.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keadaan lalu lintas di hadapan Muzium Negara tergendala hampir dua jam susulan insiden pokok tumbang pada petang Khamis.

Difahamkan, kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat secara berterusan dan angin kencang sehingga menyebabkan pokok berkenaan tumbang lalu menghempap beberapa buah kenderaan di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.21 petang dan sepasukan anggota digegaskan ke lokasi terlibat bagi melakukan tugas menyelamat.

"Setibanya jentera di lokasi, kejadian itu didapati membabitkan sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta jenis Proton Saga serta sebuah motosikal jenis Yamaha LC," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya menyelamat diri dengan keluar sendiri daripada kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Md Izzat Ahmad berkata, seorang mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam.

Iklan

"Bomba telah membantu bagi melakukan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok yang tumbang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, tiga terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap pokok berhampiran Muzium Negara di sini ketika hujan lebat pada Khamis.

Beliau berkata, pokok yang menghempap kereta jenis Proton Saga dinaiki dua lelaki warga asing dan sebuah motosikal ditunggang lelaki tempatan.

"Insiden itu menyebabkan penunggang motosikal mengalami kencederaan ringan di bahagian kaki dan dikejarkan ke hospital.

"Dua lagi penumpang kereta itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan jalan giat dijalankan oleh pihak berwajib.

Sinar Harian difahamkan trafik kembali lancar kira-kira jam 5 petang setelah kerja-kerja pembersihan selesai.