Kematangan MB Terengganu & Tun M

Iklan

PENGUMUMAN Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa kerajaan Persekutuan telah membuat pembayaran wang tunai petroleum sebanyak RM643 juta kepada kerajaan negeri Terengganu ialah satu perkembangan positif yang amat melegakan.

Hal ini demikian kerana pengumuman ini hadir pada saat rata-rata rakyat di setiap pelosok negeri sudah mulai muak dengan perkembangan politik tanah air yang semakin hari semakin mengundang perpecahan.

Iklan
Iklan

Tentu sekali, menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih – dan menyusul seterusnya PRK DUN Rantau di Negeri Sembilan pula – minda rakyat Malaysia telah ‘dibebani’ pelbagai isu yang menyemarakkan pertembungan yang bersifat kepartian, tanpa sebarang pulangan ekonomi yang positif buat kehidupan seharian mereka.

Namun pengumuman oleh Menteri Besar Terengganu ini membuktikan bahawa masih ada peluang untuk budaya ‘politik matang dan sejahtera’ diamalkan di Malaysia.

Iklan

Ternyata, meskipun kerajaan Persekutuan hari ini diterajui oleh Tun Dr Mahathir daripada Bersatu manakala kerajaan negeri Terengganu pimpinan MB Dr Ahmad Samsuri pula daripada Pas, namun ia tidak menghalang kerajaan Persekutuan daripada memulangkan kembali hak rakyat Terengganu yang telah dinafikan sejak sekian lama.

Pada satu sisi yang lain pula, pembayaran wang tunai petroleum secara langsung kepada kerajaan negeri Terengganu ini juga menamatkan amalan sebelum ini yang menggunakan istilah wang ihsan atau wang royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) yang meletakkan posisi kerajaan negeri Terengganu pada keadaan yang ‘inferior’.

Iklan

Perkembangan ini sekali gus menjanjikan prospek yang cukup baik bagi kesejahteraan rakyat negeri Terengganu. Dalam Pembentangan Bajet Terengganu 2019 yang bertemakan"Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera”, MB Terengganu turut memasukkan wang royalti minyak dan gas sebanyak RM1.745 bilion sebagai Terimaan Bukan Hasil.

Berikut ialah ulasan Dr Ahmad Samsuri berkenaan isu ini:"...satu perkembangan yang sangat menarik dan positif pada kita dan kita berterima kasih kepada kerajaan Pusat yang telah mengiktiraf bahawa kerajaan negeri Terengganu berhak untuk menerima wang tunai royalti petroleum ini sebagaimana perjanjian 1974”.

Bagi pihak kerajaan Persekutuan pula, perkembangan ini menepati sedikit-sebanyak Manifesto Pakatan dalam Buku Harapan menjelang PRU14 yang lalu, khususnya Janji 3, halaman 21.

Hakikatnya, pemberian royalti kepada kerajaan negeri pengeluar secara terus ini telah termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang memberi kuasa pengeksplorasian dan pengeksploitasian petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai kepada satu perbadanan iaitu Petronas di mana Petronas pula akan membayar sebanyak 5 peratus daripada pendapatan minyak kepada negeri-negeri yang berkenaan seperti yang termaktub dalam Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Perjanjian yang ditandatangani kesemua kerajaan negeri di bawah akta tersebut jelas mengarahkan Petronas membuat pembayaran setiap enam bulan sekali iaitu pada Mac dan September setiap tahun (Akta 144) (4).

Hal ini disokong pula dengan kenyataan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak di Parlimen pada 1974:"mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperoleh di negeri masing-masing, sama ada yang diperoleh dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut” (Dewan Rakyat, 15 November 1974).

Secara peribadi pula, langkah ini jelas membetulkan kembali tindakan Dr Mahathir yang mengaku bertanggungjawab menyekat pembayaran royalti apabila Pas menguasai Terengganu dalam PRU 1999. Pengakuan ini tercatat dalam memoir beliau ‘Doktor Umum’ halaman 856, Bab 56: Pilihan Raya Paling Sukar:

"Pada waktu itu dan sehingga sekarang, Terengganu adalah pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan kerajaan negeri memperoleh lima peratus daripada hasilnya yang berjumlah hampir RM1 bilion setahun. Kita tahu kalau kerajaan baru Pas mendapat wang itu sudah pasti mereka akan menggunakannya untuk mempertingkatkan populariti dan memperluaskan perjuangan mereka. Oleh itu, satu cara perlu dicari bagi menyekat mereka daripada memperoleh dana tersebut”.

Ternyata, banyak yang boleh kita pelajari daripada kematangan berpolitik kedua-dua MB Terengganu Dr Ahmad Samsuri dan juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam isu pembayaran wang tunai petroleum ini.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)