Projek Pintasan selesaikan isu kesesakan laluan Kuala Lumpur

Iklan

SHAH ALAM - Langkah kerajaan meneruskan projek Pintasan Serendah merupakan penyelesaian alternatif strategik kepada isu kesesakan laluan kereta api Kuala Lumpur.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, taraf keselamatan orang awam terutamanya di Kuala Lumpur Sentral juga dapat ditingkatkan.

Iklan
Iklan

"Ini kerana tiada lagi pergerakan kereta api kargo yang membawa komoditi bahan-bahan berbahaya melalui kawasan sekitar Kuala Lumpur.

"Projek Pintasan Serendah juga dapat memberi manfaat besar kepada peningkatan kecekapan pengendalian perkhidmatan kargo.

Iklan

"Penyediaan pengangkutan rel kargo yang lancar, selamat dan kos efektif ke Pelabuhan Klang dengan slot perjalanan yang fleksibel serta masa pergerakan yang singkat sangat menepati kehendak pelanggan dalam mengurangkan kos pengendalian logistik,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Dalam kenyataan sama, KTMB menjelaskan, ia merupakan salah satu projek kereta api berimpak tinggi dan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara serta akan mengukuhkan daya saing pengangkutan rel kargo terus ke Pelabuhan Klang.

Iklan

Tambahnya, peningkatan kapasiti kemudahan rel ke Pelabuhan Klang itu dapat mengukuhkan rantaian bekalan logistik kepada pembangunan industri baharu.

Katanya, ia akan menggalakkan peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Dasar Pengangkutan Negara.

"KTMB menyasarkan sebanyak 500,000 TEUs kargo setahun akan diangkut melalui Pintasan Serendah ini. Jumlah tersebut dijangka akan terus bertambah.

"Perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di Lembah Klang akan mempunyai lebihan kapasiti susulan peralihan pengangkutan rel kargo menggunakan Pintasan Serendah. Oleh itu, KTMB boleh meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter,” ujarnya.

Menurut KTMB, Pintasan Serendah memberi banyak kelebihan kepada pengukuhan rantaian bekalan logistik dan peningkatan kecekapan pengangkutan rel kargo dalam negara.

"KTMB mengharapkan agar Pintasan Serendah tersebut dapat direalisasikan dengan jayanya sebagai projek pemangkin untuk memacu pembangunan negara demi kemakmuran bersama," kata kenyataan tersebut.