RM472.5j kos bina Hospital Pasir Gudang

Iklan

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor prihatin untuk membela kualiti kesihatan rakyat di bawah Teras Kesejahteraan Rakyat.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan akan memastikan penyediaan kemudahan kesihatan yang baik untuk rakyat.

"Pertama, pelaksanaan projek Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di atas kelulusan peruntukan diberikan menerusi projek di bawah RMK-11 tahun 2019 bagi membangunkan kemudahan kesihatan di Johor.

"Antara projek yang akan dimulakan bagi tahun 2019 adalah pembinaan Hospital Pasir Gudang dengan kos keseluruhan RM472.5 juta. Kerajaan Persekutuan juga telah memperuntukkan RM90.5 juta bagi pembinaan bangunan tambahan Hospital Segamat.

"Kerajaan negeri menghargai kelulusan peruntukan bagi menaiktaraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan kos RM88.7 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Osman berkata, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah hospital baharu di Kempas bagi menampung keperluan semasa dan kesesakan HSA.

Katanya, selain itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan meneliti keperluan menaik taraf kemudahan kesihatan di seluruh negeri ini.

"Antaranya menaik taraf kompleks rawatan harian HSA dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, membina wad perubatan am Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang dan menaiktaraf Hospital Pontian serta Hospital Kota Tinggi” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pembinaan hospital pakar KPJ Segamat dirancang untuk dimulakan pada tahun depan dan dijangka siap tahun 2021 dengan anggaran kos pembangunan RM70 juta.

Turut diumumkan bantuan kupon perjalanan ke hospital atau klinik terpilih untuk golongan B40, warga emas dan OKU serta program Jelajah Kenal Ubat Anda 2018 daerah Kulai.