Kes denggi di Negeri Sembilan menurun

Iklan

SEREMBAN - Bilangan kes demam denggi yang dilaporkan di negeri ini menurun sebanyak 71 peratus iaitu hanya 220 kes berbanding 768 kes pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, bilangan kes demam denggi yang didaftarkan pada minggu ke-15 iaitu bermula 1 hingga 17 April adalah sebanyak 10 kes.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi taburan kumulatif kes denggi, daerah Seremban mencatatkan paling tinggi iaitu sebanyak 181 kes.

"Sebanyak 14 kes di daerah Jempol, Tampin (11), daerah Jelebu (8), Rembau (3), Port Dickson (2) dan satu kes di daerah Kuala Pilah.

Iklan

"Tiada kes kematian denggi dilaporkan pada minggu semasa menjadikan kumulatif kematian denggi hanya satu kes sehingga 17 April ini dan kadar kematian kes sebanyak 0.5 peratus, berbanding dua kes (kadar kematian kes sebanyak 0.3 peratus) pada tempoh yang sama bagi tahun 2020," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata, setakat ini empat lokaliti wabak dikesan yang masih aktif di daerah Seremban.

Iklan

Veerapan berkata, aktiviti pencegahan dan kawalan masih diteruskan walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan menjalankan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes ditumpukan di premis kediaman serta kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

Katanya, masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan kawasan premis masing-masing 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat atau bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes.

"Memandangkan Negeri Sembilan masih di dalam PKPP, gotong-royong kendiri digalakkan di kawasan rumah masing-masing di samping menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan," katanya.