LBS meterai perjanjian dengan kerajaan negeri Melaka

Iklan
RDA telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan LESB, Datuk Mohd Anis Hisham Abdul Aziz dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mewakili kerajaan negeri Melaka.

SHAH ALAM - Kumpulan LBS Bina Berhad (LBS) melalui anak syarikatnya, Leaptec Engineering Sdn Bhd (LESB) menandatangani perjanjian penambakan dan hak pembangunan (RDA) dengan kerajaan negeri Melaka.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, kawasan penambakan berkeluasan kira-kira 1,200 ekar itu merupakan sebahagian daripada rangka tindakan koridor ekonomi baharu ‘Melaka Waterfront Economic Zone’ (MWEZ) yang meliputi kawasan seluas 25,000 ekar di bahagian barat negeri Melaka.

Iklan
Iklan

Menurut Hock San, selepas kerja-kerja penambakan, LBS akan mengembangkan pusat industri dengan kemudahan pelabuhan yang merangkumi logistik dan gudang, pembuatan, gas asli cecair, perniagaan yang berkaitan dengan pelabuhan dan pembangunan atau aktiviti ekonomi di kawasan strategik Tanjung Bruas, Bandar XLV, daerah Melaka Tengah, Melaka.

"LBS juga merancang untuk mencari perkongsian pintar atau kolaboratif yang menguntungkan pihak-pihak berkaitan dengan projek penambakan dan pembangunan ini.

Iklan

"Projek ini selaras dengan rancangan LBS untuk meningkatkan bank tanahnya di negeri lain terutama di negeri-negeri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang pesat seperti Melaka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, RDA telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan LESB, Datuk Mohd Anis Hisham Abdul Aziz dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mewakili kerajaan negeri Melaka yang disaksikan oleh Hock San dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Mohd Yusof Abu Bakar, CFO Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,Cik Nor Fadhilah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Berhad, Imri Mokhtar.

Iklan

Beliau berkata, menerusi hak penambakan dan pembangunan yang diberikan, kerajaan negeri Melaka berhak mendapat pulangan tunai sebanyak RM94.86 juta.

"Projek ini akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman daripada pinjaman bank. LBS berhak mendapat empat per lima tanah yang ditambak, manakala kerajaan negeri Melaka memperoleh hak ke atas baki satu perlima ke atas kawasan tersebut.

"RDA ini menyediakan peluang kepada LBS untuk mendapatkan sebidang tanah yang cukup luas di kawasan pesisir Selat Melaka, salah satu laluan pelayaran paling sibuk di dunia.

"Ini akan membolehkan LBS mewujudkan kehadiran yang dominan di kawasan ini dengan akses ke pasaran baharu terutama di segmen industri dan komersial. Dengan kemasukan LBS ke Melaka, kami juga dapat memanfaatkan status 'negeri dan wilayah yang mesra' antara wilayah Guangdong, China dan Melaka bagi meneroka perkongsian pintar antarabangsa dengan syarikat yang terletak di wilayah Guangdong,” katanya.

Beliau berkata, RDA juga memberi manfaat kepada anak syarikatnya, MGB Berhad.

"Kami yakin bahawa pembangunan industri dan komersial ini akan diterima baik memandangkan lokasinya yang strategik, kegiatan ekonomi yang semakin meningkat di sekitarnya serta sokongan dari kerajaan negeri Melaka.

"Projek ini diharapkan dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan LBS pada masa akan datang,” katanya.