Bengang payudara dipegang, wanita nekad 'lawan'

Iklan

KUALA TERENGGANU - Bengang buah dadanya dipegang, seorang wanita nekad 'melawan' dengan menengking lelaki tidak dikenali meskipun hanya mereka berdua berada di kawasan berkenaan di Gong Badak, Kuala Nerus, Ahad lalu.

Kejadian berlaku ketika mangsa, 33, menunggang motosikal berseorangan di jalan belakang Industri Gong Badak, Kuala Nerus sebelum terserempak dengan seorang lelaki berkenaan kira-kira jam 8.15 malam.

Iklan
Iklan

Menurut sumber, suspek yang juga menunggang motosikal ketika itu terus mengekori mangsa dari belakang sebelum menghimpitnya lalu bertindak meramas buah dadanya.

"Terkejut dengan perbuatan biadab suspek yang sebelum ini pernah dilihat sering berlegar-legar di kawasan taman perumahannya, mangsa terus menepis tangan lelaki itu. Masih tidak berpuas hati, mangsa memberanikan diri memberhentikan motosikalnya di bahu jalan.

Iklan

"Mangsa memberi amaran keras dengan menengking lelaki tersebut, namun hanya ditertawakannya dan dipersendakan seolah-olah tiada apa yang berlaku," katanya kepada Sinar Harian

Sumber berkata, tanpa menghiraukan amaran wanita itu, suspek semakin berani apabila terus mengekori mangsa sehingga kedua-dua mereka berada di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam.

Iklan

"Suspek terus mengekori mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu, mangsa sekali lagi bertindak memberhentikan motosikalnya.

"Sejurus itu, mangsa memberanikan diri memberi amaran dengan menengking sekuat hatinya memarahi lelaki tersebut, tetapi suspek sekali lagi bersikap biadab dengan menunjukkan kemaluannya seolah-olah langsung tidak mengendahkan amaran dan keadaan sekeliling," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang merasa terganggu dengan perbuatan suspek selain bimbang akan keselamatan diri serta anak-anak kerana sering menggunakan jalan tersebut kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.