BMW terbabas rempuh rumah

Iklan
Keadaan kereta jenis BMW yang remuk selepas merempuh sebuah rumah di lampu isyarat, simpang Jelebu pada Khamis. - FOTO: Ihsan pembaca

SEREMBAN - Seorang lelaki cedera selepas kereta jenis BMW yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di lampu isyarat, simpang Jelebu dekat sini pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Penguasa Bomba Kanan, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.52 malam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dua jentera bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu berusia 47 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah rumah kayu yang berada di tepi jalan.

Iklan

"Bomba mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di ruang tempat duduk pemandu dan mangsa hanya mengalami cedera ringan," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata, rumah itu didiami oleh lima ahli keluarga, namun kesemua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan kerana masing-masing berada di dapur semasa kejadian.

Iklan

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk menerima rawatan susulan.