Axiata lantik Jamaludin, Gita sebagai anggota AAP

Iklan
Axiata berbesar hati dengan pelantikan Jamaludin dan Gita sebagai anggota AAP. Gambar kecil: Jamaludin dan Gita Wirjawan

SHAH ALAM - Axiata Group Berhad (Axiata) menerusi Lembaga Axiata telah melantik bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Jamaludin Ibrahim dan bekas Menteri Indonesia, Gita Wirjawan sebagai Panel Penasihat Axiata (AAP) yang baru ditubuhkan.

Axiata memaklumkan, lembaga itu telah meluluskan panel tersebut memandangkan operasi kumpulan semakin meningkat walaupun persekitaran perniagaan dan geopolitik semakin kompleks.

Iklan
Iklan

"Mereka akan membantu pengarahnya dalam menilai dan memahami perkembangan isu-isu penting serta kompleks yang berkaitan dengan operasi Axiata di seluruh jejak geografinya.

"Sebagai pakar industri bebas yang dikenali kerana pengalaman, pengetahuan dan pencapaian yang luas dalam industri, perniagaan serta perkhidmatan awam, Jamaludin dan Gita berada pada kedudukan yang baik untuk Lembaga Axiata memanfaatkan kekuatan serta sumbangan mereka,” kata Axiata dalam satu kenyataan.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Axiata, Tan Sri Ghazzali Abdul Khalid berkata, Axiata berbesar hati dengan pelantikan Jamaludin dan Gita sebagai anggota AAP yang mengenali perspektif, pemahaman serta hubungan fenomenal mereka yang dibina sejak beberapa dekad penglibatan dan penyertaan di tahap kehidupan korporat dan awam.

"Pandangan dan ilmu Jamaludin dalam industri telekomunikasi serta ekonomi digital sangat sesuai kerana Axiata ingin maju dalam merealisasikan cita-citanya menjadi juara digital buat generasi akan datang. Kami bersyukur Jamaludin kembali untuk menyumbang kepada syarikat ini,” katanya.

Iklan

Sebelum bersara pada 31 Disember tahun lalu, Jamaludin memimpin Axiata selama lebih 12 tahun sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, selain menjawat banyak jawatan dalam kumpulan tersebut.

Beliau juga mengetuai Celcom Axiata Berhad dan Ahli Lembaga PT XL Axiata di Indonesia. Pada Mac 2020, Jamaludin dilantik sebagai anggota Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Dalam pada itu, Ghazzali berkata, Gita pula telah menunjukkan pencapaian yang mengagumkan dalam pelbagai peranan industri dan sektor awam.

"Kami tidak sabar untuk menerima nasihat dan sokongannya terutama dalam perkara yang berkaitan dengan operasi Axiata di Indonesia,” katanya.

Gita merupakan Menteri Perdagangan Indonesia pada 2011 di bawah pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Beliau juga telah memegang jawatan sebagai ketua Dewan Koordinasi Pelaburan Indonesia selain mengetuai Ancora Group, firma ekuiti swasta terkemuka yang ditubuhkan pada 2007 dan kini turut menganggotai Dewan Kehormat Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI).