Paras air empangan tahap normal

Iklan
Tuan Ibrahim (kiri) menunjukkan undi yang dicabut pada Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah peruntukan KASA di Wisma Darul Iman, pada Ahad.

KUALA TERENGGANU - Paras air di semua empangan seluruh negara dilaporkan berada pada tahap normal dan mampu menampung keperluan harian rakyat walaupun Malaysia kini berdepan musim kemarau.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemantauan dilakukan mendapati paras air di semua empangan masih belum mencapai tahap membimbangkan.

Iklan
Iklan

"Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan keadaan kepanasan negara lebih rendah berbanding tahun lepas dan kadar kelembapan agak tinggi namun kita memantau.

"Keadaan air di empangan kita masih di paras selesa dan isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan di Baling, Kedah baru-baru ini juga sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri," katanya selepas menghadiri Majlis Cabutan Kerja Undi di bawah peruntukan KASA di Wisma Darul Iman, pada Ahad.

Iklan

Terdapat 104 empangan yang berfungsi menakung air di seluruh negara yang mana 63 daripadanya di bawah pengurusan KASA.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Terengganu menerima peruntukkan lebih RM1.5 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 membabitkan pelbagai projek pembangunan sungai, kawalan hakisan dan tebatan banjir.

Iklan

Katanya, beberapa sungai di negeri itu termasuk muara Sungai Paka, Sungai Besut, Sungai Ibai, Sungai Merchang, Sungai Setiu dan Sungai Dungun akan dipelihara melalui projek pemuliharaan yang dianggarkan bernilai RM861 juta.

"Pada tahun ini, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM7.5 juta untuk kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengatasi risiko banjir di Terengganu.

"Daripada peruntukan itu, RM4.8 juta melibatkan 103 projek di lapan daerah membabitkan kerja di bawah RM100,000 bagi kontraktor kelas G1 dan selebihnya akan dilaksanakan pada fasa kedua," katanya.