Covid-19: Pelajar IPT dikecualikan bayaran ujian pengesanan

Iklan
Pengecualian bayaran akan diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang melakukan ujian Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju mengecualikan fi atau bayaran ujian pengesanan Covid-19 bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, pengecualian itu akan diberikan kepada pelajar warga Malaysia yang melakukan ujian Covid-19 di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Iklan
Iklan

"Selaras dengan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19, semua pelajar perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan sesi pengajian.

"Maka, kerajaan akan menanggung semua kos ujian,” katanya yang menganggarkan kos terlibat ialah sebanyak RM2.79 juta.

Iklan

Bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan buku bertajuk Impak Covid-19 Terhadap Insan, terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara maya pada Khamis, Dr Adham berkata, dianggarkan 18,600 pelajar IPT akan memulakan sesi pembelajaran fizikal secara berperingkat bermula 1 Mac lepas.

Buku tersebut dihasilkan sekumpulan penyelidik dari Pusat Penciptaan Nilai dan Kesejahteraan Insan, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM berdasarkan pengalaman mendepani Covid-19 serta penyelidikan saintifik.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Dr Adham berkata, setakat ini, 80,336 individu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech, yang majoritinya ialah petugas barisan hadapan yang disenaraikan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Februari lepas.

Menurut Dr Adham, kira-kira 271 juta penduduk dunia telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan Amerika Syarikat merekodkan jumlah tertinggi iaitu 80.5 juta penduduk, diikuti China 52.5 juta, Kesatuan Eropah (35.6 juta) dan United Kingdom (21.5 juta).

Menurutnya, Malaysia menduduki tangga ke-68 daripada jumlah keseluruhan negara yang telah dan sedang memberi suntikan vaksin Covid-19.

Beliau turut menyeru rakyat negara ini untuk mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di aplikasi MySejahtera, yang sehingga kini telah merekodkan pendaftaran kira-kira 2.7 juta individu. - Bernama