Tribunal UMNO: Tun Faisal mohon tiga perkara

Iklan
Tun Faisal Ismail Aziz

SHAH ALAM - Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz dijangka tampil di hadapan Tribunal Lembaga Disiplin UMNO pada 1 Mac depan.

Tun Faisal sepatutnya hadir pada Khamis namun tribunal berkenaan bersedia menangguhkannya kepada tarikh baharu kerana komitmen kerja beliau.

Iklan
Iklan

Tun Faisal dalam kenyataannya berkata, selain menawarkan diri untuk membantu persiapan bagi memberikan keadilan kepadanya, beliau memohon tiga perkara daripada Lembaga Disiplin.

"Sebagai langkah persiapan, saya telah berbincang dengan beberapa orang pengamal undang-undang dan pemimpin veteran parti.

Iklan

"Berdasarkan pandangan dan nasihat mereka, bagi menjamin dan memastikan proses pendengaran dan membuat keputusan tribunal ini dilaksanakan secara adil dan telus.

"Saya ingin memohon kepada Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Zul Hasnan Rafique beberapa perkara sebelum sesi tribunal dilaksanakan," katanya di laman Facebook beliau pada Khamis.

Iklan

Tiga permohonan tersebut adalah senarai nama anggota tribunal, iaitu pengerusi dan anggota-anggotanya.

Permohonan kedua ialah nama pengadu atau nama UMNO Bahagian yang membuat aduan terhadap beliau dan apakah butiran aduan asal serta peraturan-peraturan yang didakwa telah beliau langgar.

Ketiga, membenarkan beliau membawa dua orang pengamal undang-undang untuk hadir bersama sebagai pemerhati dan sebagai pihak yang boleh menjadi penasihat kepadanya.

"Saya berharap tiga permintaan saya ini dapat dipenuhi memandangkan proses dan ketelusan tribunal ini amat penting bagi memastikan UMNO dilihat adil dan mengetepikan persepsi bahawa Lembaga Disiplin dipergunakan untuk memenuhi kepentingan individu tertentu dalam parti," katanya.