Dr Mohd Daud Bakar Pengerusi MAIWP baharu

Iklan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi MAIWP yang baharu kepada Datuk Dr Mohd Daud Bakar

KUALA LUMPUR - Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr Mohd Daud Bakar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baharu berkuatkuasa 10 Februari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan pelantikan itu bersama 21 ahli MAIWP baharu, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Iklan
Iklan

Zulkifli menyerahkan watikah pelantikan kepada mereka yang berkenaan di Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya pada Selasa.

Katanya, Mohd Daud yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia adalah seorang tokoh dan pakar kewangan Islam, selain aktif menjadi penasihat syariah institusi kewangan di peringkat antarabangsa seperti di Oman; Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Perancis dan London, England.

Iklan

Selain itu, Zulkifli memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP yang baharu.

Zulkifli berkata, selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], seramai lima ahli ex-officio turut dilantik.

Iklan

Mereka adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan mewakili Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mewakili Ketua Polis Negara; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Sementara itu, Zulkifli berkata, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail pula dilantik sebagai Setiausaha MAIWP, selaras dengan Akta 505. - Bernama