Palestin terima vaksin Covid-19 sumbangan UAE

Iklan
Dua pekerja perubatan memindahkan vaksin Covid-19 dari sebuah trak di Lintasan Rafah di bandar Rafah, Gaza pada Ahad. - Foto Xinhua

RAFAH - Kira-kira 20,000 dos vaksin Covid-19 buatan Rusia, Sputnik V tiba di Gaza dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ahad menerusi penghantaran melalui Lintasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir.

Ketibaan vaksin itu didakwa hasil perancangan bekas anggota kanan parti Fatah, Mohammed Dahlan yang merupakan saingan politik kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan tiba sebelum pilihan raya Parlimen dan Presiden masing-masing diadakan pada bulan Mei serta Jun depan.

Iklan
Iklan

Penghantaran vaksin itu juga tiba pada hari Gaza menarik balik larangan terhadap majlis perkahwinan di dewan-dewan dan pembukaan gimnasium.

Vaksin Sputnik V itu memasuki Gaza melalui pantai Rafah dan melalui Mesir, kata seorang wartawan AFP.

Iklan

Ini menunjukkan vaksin tersebut tidak melalui Israel yang masih melakukan sekatan ke atas Gaza sejak tahun 2007.

Pada minggu lalu, Dahlan yang kini hidup dalam buangan di UAE, mengumumkan penghantaran vaksin tersebut adalah satu"pemberian murah hati" dari Abu Dhabi.

Iklan

Dahlan ketika ini merupakan penasihat keselamatan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan.

Menurut satu kenyataan daripada Pergerakan Pembaharuan, vaksin itu adalah untuk tujuan pasukan perubatan di Gaza yang masih belum memulakan program vaksinasi dalam kalangan penduduk Palestin.

Pergerakan itu merupakan satu kumpulan penentang Abbas yang dikuasai oleh para penyokong Dahlan.

Ketua pergerakan itu, Sufyan Abu Zaida berkata, penghantaran vaksin tersebut merupakan sumbangan daripada UAE dan usaha yang dibuat oleh Dahlan bagi mengurangkan penderitaan penduduk Palestin.

Berdasarkan kepada spekulasi tersebar luas, Dahlan kemungkinan akan mencabar kem Abbas dalam pilihan raya wilayah itu.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Palestin (PA) berkata, kumpulan pertama vaksin Sputnik V yang tiba pada minggu lalu di Gaza akan dikongsi bersama dengan pergerakan Hamas.

Pergerakan Hamas itu kini menguasai Gaza.

Penghantaran vaksin itu telah dihantar oleh PA dari Tebing Barat melalui Israel yang pada awalnya menyekat penghantarannya ke Gaza sebelum ia kemudian dibenarkan dihantar ke wilayah tersebut. - Agensi