MP Sungai Besar makin stabil selepas pembedahan jantung

Iklan
Muslimin Yahaya

SUNGAI BESAR - Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya dalam keadaan stabil selepas selamat menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital di negeri ini, 4 Februari lalu.

Anak sulung Muslimin, Mohammad Shahrul Fitri, 21, berkata, bapanya itu kembali sedar dan menunjukkan perkembangan positif pada setiap hari.

Iklan
Iklan

"Tapi, doktor menasihatkan ayah itu lebih banyak berehat dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan selepas pembedahan.

"Ayah (Muslimin) mungkin terpaksa berehat sementara sebelum kesihatannya kembali pulih," katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Parit 8 Gambut, Sungai Panjang di sini, hari ini.

Iklan

Mohammad Shahrul berkata, ibunya, Hanisah Paimin dan ahli keluarganya turut berada di hospital semasa pembedahan itu berlangsung.

"Kami bersyukur ayah selamat menjalani pembedahan dan gembira beliau menunjukkan tanda positif.

Iklan

"Saya memohon kepada semua terutama penduduk Sungai Besar mendoakan kesihatan ayah agar dapat berkhidmat kepada rakyat seperti sedia kala," katanya.

Menurutnya, Muslimin amat komited terhadap tugas dan tanggungjawab kepada penduduk di kawasan Parlimen berkenaan.

"Saya berharap tiada pihak mengeluarkan kenyataan bercanggah dan spekulasi mengenai status kesihatan ayah.

"Berikanlah masa untuknya berehat sebelum memulakan semula tugas untuk rakyat," katanya.