Aktiviti pelacuran atas talian terbongkar

Iklan
Wanita warganegara asing yang ditahan di dalam Ops Noda.

KLUANG – Polis daerah ini berjaya melumpuhkan sindiket pelacuran atas talian melibatkan wanita warganegara asing apabila melakukan dua serbuan dalam Ops Noda di sekitar daerah ini pada 1 dan 8 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 10 malam di Flat Haji Manan di sini, polis berjaya menahan satu lelaki warganegara tempatan dan tiga perempuan warganegara asing.

Iklan
Iklan

"Dalam serbuan tersebut, kami telah merampas sembilan kondom, sebotol minyak pelincir, sebotol krim, satu gulung tisu, tiga unit telefon bimbit pelbagai jenis, satu tisu basah, satu buku catitan dan wang tunai sebanyak RM300.

"Ujian air kencing terhadap lelaki tempatan berumur 61 tahun itu juga mendapatinya negatif dadah, namun pemeriksaan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Iklan

Menurutnya, suspek yang aktif melakukan kegiatan tersebut melalui aplikasi sosial ‘WeChat” disiasat di bawah Seksyen 372A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima belas tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Katanya, tiga wanita warganegara asing yang berumur di antara 39 hingga 44 tahun itu turut direman sehingga 15 Februari ini untuk membantu siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Iklan

Sementara itu، dalam serbuan kedua pada 8 Februari lalu kira-kira jam 10.15 malam, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah membuat serbuan di sebuah hotel di Jalan Datuk Rauf, di sini.

"Hasil serbuan, polis telah menangkap seorang lelaki tempatan dan telah menyelamatkan tiga perempuan dan seorang lelaki warganegara asing berumur di antara 29 hingga 40 tahun yang dipercayai menjadi mangsa seks melalui aplikasi ‘WhatsApp’.

"Dalam serbuan tersebut, kami telah merampas 11 kondom, satu tiub gel pelincir, sembilan unit telefon bimbit pelbagai jenis dan wang tunai sebanyak RM436 yang di percayai hasil dari kegiatan pelacuran ini,” katanya.

Menurutnya, ujian air kencing terhadap lelaki tempatan berumur 42 tahun mendapatinya negatif dadah selain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan direman sehingga 14 Februari ini untuk membantu siasatan.

Katanya, tiga wanita warganegara asing yang diselamatkan telah dihantar ke pusat perlindungan di Johor Bahru manakala seorang lelaki warganegara asing di hantar ke pusat perlindungan di Melaka dan akan tinggal di pusat perlindungan tersebut sehingga 1 Mac ini.

"Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang bentuk jenayah termasuk aktiviti pelacuran di daerah ini untuk menyalurkan maklumat kepada polis agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil, ” katanya.